Sambutan Hari Keluarga TUDB meriah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Seramai 2,000 orang warga Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) berserta ahli keluarga mereka menghadiri Sambutan Hari Keluarga yang berlangsung di Colonnade Jerudong Park Playground, hari ini.

Sambutan Hari Keluarga TUDB berkenaan telah dirasmikan oleh Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat selaku tetamu kehormat.

Antara tujuan sambutan adalah bagi memupuk hubungan kekeluargaan serta memperkukuhkan hubungan dan mengeratkan silaturahim dalam kala-ngan warga TUDB.

Ia juga diungkayahkan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh ahli-ahli keluarga TUDB khususnya Badan Kebajikan Isteri-isteri (BAKTI) TUDB yang turut menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan TUDB dalam pengendalian acara-acara sepanjang tahun ini.

Turut dijemput hadir pada majlis sambutan hari keluarga berkenaan ialah anak-anak yatim TUDB.

Beberapa permainan tradisional keluarga turut diaturkan bagi memeriahkan lagi sambutan seperti lumba lari menggunakan guni, lari tiga kaki, mengisi baldi, larian berganti-ganti bawa bola dan cabaran bola-baldi.

Di samping itu, beberapa aktiviti lain turut disusun seperti bazar, trak aiskrim, belon, maskot dan bouncer bagi menambah serikan sambutan.

Warga TUDB yang hadir juga turut berpeluang untuk meluangkan masa bersama keluarga masing-masing selain menikmati permainan Taman Air JP dan go-kart.

Gelagat salah sebuah keluarga TUDB yang menyertai permainan pada sambutan hari keluarga tersebut.
Antara kemeriahan suasana Sambutan Hari Keluarga TUDB di Colonnade Jerudong Park Playground.