Sambutan Hari OKU meriah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) anjuran Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajah Maryam (Pusat Ehsan) berakhir meriah di Colonnade, Taman Permainan Jerudong malam kelmarin.

Pada sambutan itu, Pancaragam Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) memeriahkan persembahan di samping beberapa artis tempatan, penuntut dan kakitangan Pusat Ehsan yang menampilkan lagu-lagu pop dan tradisional bagi hiburan orang ramai.

Selain persembahan, ia juga diserikan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan Mobile Legend yang disampaikan oleh Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.

Manakala pelbagai aktiviti menarik juga memeriahkan lagi sambutan melibatkan usahawan, pengusaha restoran, sukarelawan, institusi pendidikan dan pihak-pihak yang menyokong Pusat Ehsan.

Sambutan yang juga bersempena Festival Disember Brunei (BDF) 2018 itu turut disokong oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dan ditaja oleh Cityneon Displays and Construction Sdn Bhd dan Jerudong Park and Country Club (JPCC).

Selain menyemai kesedaran dan menarik penglibatan orang ramai bagi bersama-sama membantu OKU di negara ini, ia juga adalah satu peluang untuk menarik orang ramai meluangkan masa bersama keluarga pada musim cuti sekolah sekali gus menderma bagi pembiayaan program dan perkhidmatan di pusat berkenaan.

Persembahan yang dibawakan oleh Pancaragam Tentera Laut Diraja Brunei dengan gabungan penuntut dan kakitangan Pusat Ehsan pada acara tersebut.
Haji Ahmad menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mobile Legend anjuran Pusat Ehsan.