Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 30 MEI – Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) selaku badan induk dan suara rasmi bukan kerajaan bagi persatuan orang kelainan upaya (OKU) telah mengadakan majlis sambutan Hari Raya yang berlangsung di Dewan AMAS, Kampung Lamunin, Tutong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, para pegawai kanan KKBS, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi MKOKU, yang di-pertua persatuan-persatuan yang bergabung dengan MKOKU serta ibu bapa para pelajar.
Majlis yang penuh kemeriahan berkenaan turut diselajurkan dengan Sambutan Hari Keluarga.
Antara pengisian majlis tersebut ialah ucapan daripada wakil individu OKU, Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin dan Yang Di-Pertua MKOKU, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab di samping turut menyaksikan beberapa persembahan gabungan daripada golongan OKU dan ahli persatuan OKU yang bergabung dengan MKOKU yang bertujuan bagi menampilkan kemampuan serta kebolehan individu OKU.
MKOKU merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang telah berdaftar secara rasmi pada 21 Mei 2016 di mana ia berwawasan untuk membangunkan masyarakat yang inklusif di mana hak keistimewaan dan kesejahteraan OKU diiktiraf, diterima, dimajukan dan dipertahankan dengan saksama dan terpelihara dengan adil laila bahagia.
Antara persatuan-persatuan OKU yang bergabung di bawah payung MKOKU adalah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, SMARTER Brunei, Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Persatuan Sindrom Down (ABLE), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAB), Paraplegic and Physically Disable Association (PAPDA) dan Learning Ladders Society (LLS).
Majlis sambutan Hari Raya tersebut dihasratkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan mahabbah antara ahli persatuan dan juga rakan strategik dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Bagi memeriahkan lagi acara, beberapa cabutan bertuah dan persembahan nyanyian turut diadakan semasa majlis tersebut berlangsung.

