Oleh Salawati Haji Yahya & Nurdiyanah R
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Sambutan Israk dan Mikraj tahun ini terus disemarakkan dengan majlis-majlis yang diadakan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian-kementerian kerajaan.
Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelmarin, telah mengadakan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Bertabur, kementerian berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.
Majlis yang turut dihadiri secara maya oleh warga kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya itu, diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan, pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman.
Kementerian Tenaga, jabatan dan badan-badan berkanun di bawahnya turut mengadakan majlis serupa secara maya, kelmarin, yang diselenggarakan bersama oleh Bahagian Perundangan dan Pematuhan, Bahagian Projek Strategik dan Unit Kewangan di kementerian tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Pada majlis itu, tazkirah khas bertajuk ‘Sembahyangku kerana Allah’ disampaikan oleh pensyarah di Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr Ahmad Baha bin Mokhtar.
Turut mengadakan majlis secara maya kelmarin ialah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya yang dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku tetamu kehormat.
Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Semahyang: Alat untuk Berkomunikasi dengan Allah SWT’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Sementara itu, baru-baru ini, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya telah mengadakan ceramah khas bersempena memperingati Sambutan Israk Mikraj secara maya menerusi platform aplikasi Microsoft Teams.
Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Urusan, Perbadanan TAIB, Haji Osman bin Haji Mohd Jair.
Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Hakikat Peristiwa Israk dan Mikraj’ yang disampaikan oleh pensyarah jemputan di Pusat Penyeidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.