Sambutan Jubli Platinum berakhir gilang-gemilang

LONDON – Dalam acara kemuncak Jubli Platinum, Ratu Elizabeth II melambai ke arah puluhan ribu penonton dari beranda Istana Buckingham pada Ahad, dengan peminat datang dari seluruh pelosok rantau untuk melihat baginda semasa hari terakhir perayaan sempena ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II menaiki takhta.

Baginda telah mengurangkan jadual kerjanya dalam beberapa bulan ini disebabkan masalah pergerakan. Sebelum acara kemuncak, baginda hanya muncul dua kali di khalayak ramai, semasa perayaan empat hari pada hujung minggu. Pegawai berkata baginda mengalami ‘rasa tidak selesa’ semasa acara tersebut.

Orang ramai yang membanjiri kawasan Mall di luar istana untuk acara kemuncak bersorak ketika Ratu Elizabeth II muncul di beranda bersama Putera Charles, isteri Camilla dan Putera William bersama keluarga.

Ia merupakan satu imej yang harus diabadikan dalam buku sejarah dan bayangan sekilas masa depan raja berperlembagaan itu, dengan tiga waris Ratu Elizabeth II – anak sulung Charles, 73 tahun, cucu Putera William dan cicit Putera George – berdiri di sebelah baginda.

Ratu Elizabeth II, dalam pakaian warna hijau, melambaikan tangannya sambil senyum selepas orang ramai menyanyikan lagu kebangsaan ‘God Save the Queen.’ Kehadiran baginda, yang hanya berlangsung beberapa minit, diikuti oleh persembahan ‘Dancing Queen’ daripada kumpulan Abba.

Orang ramai menonton filem Ratu Elizabeth II mengadakan jamuan teh dengan Paddington Bear di skrin besar di konsert Jubli Platinum di depan Istana Buckingham. – AP
Dari kiri: Camilla, Putera Charles, Ratu Elizabeth II, Putera George, Putera William, Puteri Charlotte, Putera Louis dan Kate berdiri di beranda pada akhir Pertunjukan Jubli Platinum di luar Istana Buckingham, London pada 5 Jun 2022. – AP
Putera Charles dan Camilla tiba untuk majlis Big Jubilee Lunch di perkarangan kriket The Oval pada hari terakhir sambutan sempena Jubli Platinum di London pada 5 Jun. – AP
Pesawat The Red Arrows mengadakan terbang lintas selepas acara Trooping the Colour di London. – AP
Anggota komuniti tempatan mengambil bahagian dalam ‘Big Jubilee Lunch’ di Meja Panjang di luar Istana Windsor, Windsor, England pada 5 Jun 2022. – AP
Dron melakar bendera di atas konsert Jubli Platinum yang berlangsung di luar Istana Buckingham di London pada 4 Jun 2022. – AP

Ia merupakan finale gilang-gemilang kepada pertunjukan besar-besaran sempena meraikan kehidupan Ratu Elizabeth II dan memaparkan diversiti budaya Britain. Ribuan orang membanjiri jalan raya Britain, kebanyakannya berasa amat teruja dan bangga dengan permaisuri serta negara mereka.

“Kami berasa amat kagum. Kami datang dengan perasaan teruja dan seronok,” kata Veronica Timperley, 75, yang datang bersama anak perempuannya, Kate.

Ratu Elizabeth II juga mengeluarkan satu kenyataan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah meraikan Jubli Platinum baginda.

Pertunjukan pada Ahad bermula dengan perarakan tentera menarik yang menampilkan 200 kuda berarak dari Mall ke Istana Buckingham.

Kuda-kuda berkenaan mengiringi kereta kuda emas, gerabak yang membawa permaisuri ke upacara kemahkotaan 69 tahun lalu. Versi gambar maya baginda, diambil daripada video arkib pada majlis kemahkotaan, ditayangkan di tingkap kereta kuda.

Pertunjukan gilang-gemilang disusuli oleh persem-bahan yang meraikan diversiti budaya moden Britain dan Komanwel, daripada penari hip hop dan Bollywood kepada perarakan kenderaan berhias ala Mardi Gras.

Kira-kira 6,000 peserta berarak di jalan sepanjang tiga kilometer yang dihias dengan bendera Union, menceritakan kisah kehidupan Ratu Elizabeth II menerusi tarian, kereta vintaj, kostum berwarna-warni, muzik karnival dan boneka raksasa.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan beberapa persembahan menarik daripada selebriti termasuk penyanyi Cliff Richard, yang menyanyi dan menari dari bas dua tingkat dengan bumbung terbuka.

Pertunjukan itu ditonton oleh 1 bilion orang di seluruh dunia, menurut penganjur.

Peminat diraja mengharungi cuaca basah dan sejuk dan berkhemah di luar Mall semalaman untuk mendapatkan pemandangan terbaik pertunjukan yang diadakan.

Ada di antara mereka datang untuk menyaksikan persembahan daripada selebriti terkenal – seperti Ed Sheeran, yang mendendangkan lagu Perfect’ sementara konsert yang diadakan di depan Istana Buckingham menampilkan Diana Ross, Rod Stewart, Duran-Duran, Alicia Keys dan Andrea Bocelli.

“Ia adalah sebahagian daripada sejarah, ia tidak akan berulang lagi. Ia adalah sesuatu yang amat istimewa, maka jika awda akan melakukannya, awda perlu melakukannya secara besar-besaran,” kata Shaun Wallen, 50.

Berjuta-juta rakyat dari seluruh negara menyambut ulang tahun jubli platinum dengan parti jalan dan barbeku yang mendereti jalan raya dengan meja panjang, belon dan makanan perkelahan.

Pada Ahad, Putera Charles dan Camilla bergaul dan beramah mesra bersama orang ramai di perkarangan kriket The Oval di London untuk acara ‘Big Jubilee Lunch.’ – AP