Sambutan Maulud Nabi terus Disemarak

Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Meskipun dalam keadaan negara berdepan gelombang kedua penularan wabak COVID-19, Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW tetap meriah dengan majlis-majlis dalam talian yang diadakan oleh pelbagai pihak.

Kelmarin, Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar turut memperingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan majlis sambutan secara dalam talian.

Majlis berkenaan disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku penaung AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.

Turut menyertai, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid Jabatan Hal Ehwal Masjid Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan pegawai-pegawai dari jabatan berkenaan.

Majlis yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid itu diserikan dengan persembahan dikir dan tausyeh.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai Sambutan Maulud Nabi SAW anjuran Masjid Kampung Sungai Besar yang diadakan secara maya.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa dan Yang Berhormat Awang Hanapi bersama pada belia semasa tazkirah yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.
Antara ahli BDARA yang menyertai Majlis Dikir Syarafil Anam melalui aplikasi zoom.
Datin Hajah Dayang Siti Hajar bersama para ahli Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam pada majlis dikir yang diadakan secara maya.
Ahli Pekerti turut memeriahkan sambutan Maulud Nabi.

Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) pula telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam juga secara maya melalui aplikasi Zoom, kelmarin.

Majlis yang disertai oleh ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi BDARA dan ahli BDARA serta keluarga itu diserikan dengan laungan dikir dan diakhiri dengan bacaan Doa Dikir dan Doa Selamat serta Doa Memohon Perlindungan daripada COVID-19. Manakala itu, seramai 130 orang telah menghadiri tazkirah secara dalam talian yang telah dianjurkan oleh Majlis Belia Brunei (MBB) sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku yang dipertua MBB dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

Tazkirah yang disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Haji Mohammad Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud, menyentuh tentang ujian yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan bagaimana Baginda menghadapinya dengan mengekalkan senyuman dan berasa gembira bersama orang sekeliling.

Sementara itu, baru-baru ini, Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) dan persatuan-persatuan yang bergabung dengannya juga mengadakan majlis dikir secara maya.

Hadir ialah Yang Dipertua MWNBD, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof.

Sesuai dengan tema sambutan pada tahun ini, ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’, ahli-ahli majlis tidak ketinggalan untuk sama-sama berselawat kepada Baginda Nabi Muhammad SAW untuk mendapat rahmat dan syafaat Baginda, lebih-lebih lagi dalam situasi negara pada masa ini.

Turut hadir pada majlis yang penuh berkebajikan itu ialah ahli-ahli persatuan yang bergabung dengan MWNBD seramai lebih kurang 120 orang dari 13 buah persatuan.

Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) pula telah mengadakan Majlis Penutup Dikir pada 18 Oktober lalu di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku yang dipertua PEKERTI.

Turut menyertai ialah Pengerusi PEKERTI, Datin Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abdul Samad, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari kelima-lima cawangan PEKERTI, seramai lebih 50 orang.