Monday, November 28, 2022
23.1 C
Brunei

-

Sambutan penubuhan TDDB ke-61

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) meraikan hari ulang tahun penubuhannya ke-61 dengan upacara kawalan perbarisan yang terdiri daripada 1,206 orang anggota di Batalion Ketiga TDDB (3Bn TDDB), Perkhemahan Lumut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal bin Abdul Latif.

Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Pemerintah Medan TDDB serta pegawai-pegawai kanan tentera darat dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Sejurus tiba, Pemerintah TDDB menerima tabik hormat daripada kawalan perbarisan yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Sekolah Infantri TDDB, Mejar Faizal Azly bin Haji Rosli dan diikuti dengan pemeriksaan perbarisan dan ucapan daripada Pemerintah TDDB. 

Dalam ucapannya, beliau melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mengimbas detik-detik kegemilangan TDDB yang bersejarah dalam meniti usianya 61 tahun di bawah naungan Baginda yang bijaksana demi memastikan TDDB terus berkembang maju dan pesat.

Anggota TDDB bergambar ramai semasa meraikan ulang tahun penubuhannya ke-61. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

Ini dibuktikan dari bermulanya detik perintis TDDB sehinggalah ke era pembangunan dan pemodenan selaras dengan visi TDDB iaitu tentera darat yang berkemampuan dan beradaptasi.

Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemerintah TDDB mengumumkan penstrukturan ke atas Combined Arms Battalions (CABn), Rejimen Pengawal Diraja TDDB, Khidmat Pergigian TDDB, serta Khidmat Perubatan dan Kesihatan TDDB.

Beliau turut mengongsikan pencapaian TDDB di sepanjang tahun 2022 termasuk penauliahan bagi jawatan Pemerintah Medan TDDB berpangkat kolonel, penubuhan Skuadron Bot Tempur dan Pasukan Perisikan TDDB. 

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk merujuk kepada Force Structure Review dan Force 2035 dalam meneroka dan menentukan perancangan masa depan TDDB serta Panduan Pemerintah bagi 2023. 

Majlis diikuti dengan penyampaian lencana oleh Pemerintah TDDB kepada anggota CABn bagi menandakan permulaan penubuhan CABn yang turut terlibat dalam Latihan Semangat Bersatu pada 11 hingga 31 Oktober lalu, disusuli dengan ikrar Tentera Darat daripada barisan kawalan kehormatan, bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.

Majlis diakhiri dengan pemotongan kek sempena Hari Ulang Tahun TDDB ke-61 bertempat di Mes Pegawai, Perkhemahan Lumut diikuti dengan jamuan petang dan bacaan Doa Penutup.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -