Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Sambutan raikan Jururawat dan Bidan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa bagi 2023 dan Sambutan Hari Raya Aidil-fitri bagi Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan di Dewan Al-Afiah, kementerian berkenaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan, Haji Salehkamal bin Haji Badaruddin dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, tema tahun ini iaitu Our Nurses. Our Future telah disediakan oleh Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN).

    “Tema ini adalah sangat bersesuaian untuk menyediakan jururawat bagi menangani cabaran kesihatan global yang semakin mencabar yang mana tema ini merujuk kepada apa yang telah berlaku semasa pandemik COVID-19 yang lalu,” jelas beliau.

    Menurutnya, jururawat serta bidan telah mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya untuk lebih bersiap siaga pada masa hadapan untuk menghadapi cabaran kesihatan global yang tidak diketahui serta akan sentiasa bersedia meningkatkan kesihatan global untuk
    semua.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan memotong pulut kuning sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Beliau seterusnya menambah, Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha sedaya upaya memantapkan kejururawatan di negara ini untuk lebih pedinamik dan inovatif.

    “Ia bukan hanya sekadar responsif terhadap keperluan semasa malahan sentiasa siap siaga menangani cabaran mendatang, berterusan, peka dan mengambil kira akan sebarang perubahan paradigma dan epidemiologi yang boleh mempengaruhi penjagaan kesihatan di peringkat setempat mahupun serantau dan sejagat,” tambah beliau.

    Melihat perkara itu, ujarnya lagi, Perkhidmatan Kejururawatan amat mengambil perhatian yang serius akan pembangunan kapasiti jururawat dan bidan yang merupakan tulang belakang dan nadi utama perkhidmatan kesihatan.

    Katanya lagi, adalah menjadi harapan Perkhidmatan Kejururawatan, supaya semua jururawat dan bidan akan terus berusaha untuk memantapkan diri, bersiap sedia dan sentiasa menjaga imej kejururawatan agar profesion ini menjadi legasi dan juga kebanggaan kita semua.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berpeluang mengunjungi petak-petak Hari Raya seterusnya beramah mesra dengan jururawat dan bidan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...