Sambutan Raya di penghujung Syawal

Oleh Sim Y. H., Normazlina M.D & HM Yusof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Syawal terakhir hari ini masih dimeriahkan dengan majlis-majlis sambutan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) adalah antara yang mengakhiri bulan Syawal dengan mengadakan Majlis Malam Silaturahim dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Ceaser Hall, Hotel Orchid Garden, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Badan Kebajikan Pekerja Yayasan, di sini, hari ini, majlis itu dianjurkan bagi sama-sama memeriahkan lagi suasana Hari Raya Aidilfitri dan juga diteruskan dengan penghargaan kepada Mantan Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail yang juga selaku penasihat kepada Badan Kebajikan Pekerja Yayasan.

Penyampaian cenderahati penghargaan kepada Haji Brahim telah disempurnakan oleh Pengarah Yayasan selaku Penasihat Badan Kebajikan Pekerja Yayasan, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan Badan Kebajikan Pekerja Yayasan kepada ahli yang akan menunaikan fardu haji pada 2017 iaitu Awang Alimas bin Mohamad Ali.

Gambar ramai warga Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ketika meraikan Aidilfitri. - Gambar oleh Amri HMS
Gambar ramai warga Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ketika meraikan Aidilfitri. – Gambar oleh Amri HMS
Persembahan daripada warga TASKA Yayasan. - Gambar oleh Amri HMS
Persembahan daripada warga TASKA Yayasan. – Gambar oleh Amri HMS
Pemenang baju tercantik Raya Badan Kebajikan Pekerja Yayasan. - Gambar oleh Amri HMS
Pemenang baju tercantik Raya Badan Kebajikan Pekerja Yayasan. – Gambar oleh Amri HMS
Persembahan nyanyian oleh warga Cawangan Operasi ‘E’ Bomba Daerah Tutong.
Persembahan nyanyian oleh warga Cawangan Operasi ‘E’ Bomba Daerah Tutong.

Cawangan Operasi ‘E’ Bomba Daerah Tutong, baru-baru ini, juga telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diselajurkan dengan majlis penyampaian derma kepada seramai 11 orang anak yatim dan penyampaian cenderahati kepada salah seorang pegawai bomba yang telah bersara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang diadakan di Dewan Serba guna Balai Bomba Bukit Beruang, Tutong itu ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘E’ Bomba Daerah Tutong, Penguasa Kanan Bomba Tahir bin Haji Muktal.

Majlis bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama pegawai, anggota bomba dan kakitangan bersama keluarga Cawangan Operasi ‘E’ di samping dapat memberikan kerjasama bersama ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya.

Selain itu, majlis juga bertujuan untuk memberikan bantuan dan kemeriahan Hari Raya bersama anak-anak yatim selain memberikan penghargaan kepada pesara yang pernah berkhidmat di bawah Cawangan Operasi ‘E’, Bomba Daerah Tutong.

Turut memeriahkan hari-hari terakhir Syawal, baru-baru ini, adalah Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) yang mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya di kedua-dua kampusnya di Gadong dan Jerudong.

Majlis tahunan itu diadakan untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara kakitangan dan para pelajar serta menggalakkan semangat muhibah.

Selain menikmati hidangan, majlis sambutan berkenaan telah dimeriahkan dengan pertandingan-pertandingan seperti Hiasan Kelas Terbaik dan Suasana Raya Terbaik.

Para pelajar juga berpeluang menyertai permainan-permainan seperti Meneka Barangan Raya dan Pilih Paket Hijau.

Pengetua MIC, Sharon Chin dalam kenyataan yang dikeluarkan telah menyampaikan penghargaan kepada semua pelajar dalam menjayakan sambutan berkenaan.

Warga Micronet di salah sebuah ‘Kelas Terbuka’ sempena Aidilfitri yang dianjurkan institusi pendidikan itu.
Warga Micronet di salah sebuah ‘Kelas Terbuka’ sempena Aidilfitri yang dianjurkan institusi pendidikan itu.
NICB tidak ketinggalan beraya.
NICB tidak ketinggalan beraya.

Manakala itu, National Insurance Co Bhd (NICB) pula telah meraikan lebih 100 ejen serta rakan perniagaannya dalam Majlis Sambutan Hari Raya yang diadakan di Restoran Millenium, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NICB, para tetamu di majlis itu dialu-alukan oleh Pengurus Besar NICB, Klaus Tomalla, pegawai-pegawai pengurusan dan kakitangan NICB di mana mereka berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan juadah istimewa serta beramah-mesra dengan para jemputan di majlis berkenaan.

Sambutan hari raya itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada ejen dan rakan perniagaan atas sokongan berterusan yang diberikan serta untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara ejen, rakan perniagaan serta kakitangan NICB.

Bekas pegawai dan kakitangan Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) yang telah bersara, juga telah memeriahkan hari-hari terakhir Syawal dengan mengadakan Majlis Silaturahim Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Restoran Dynasty, Gadong, di sini, baru-baru ini.

Gambar ramai pegawai dan kakitangan RTB bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai pegawai dan kakitangan RTB bersama tetamu kehormat.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Turut hadir ialah Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu, bekas pengarah-pengarah RTB, timbalan-timbalan pengarah, pegawai serta kakitangan yang lain.

Majlis berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan bekas pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan di samping memeriahkan suasana Syawal.

Majlis juga diselajurkan dengan Sambutan Perkhidmatan Televisyen Brunei ke-42 tahun dan Perkhidmatan Radio ke-60 tahun.

Sementara itu, Restoran M.Yus dengan kerjasama stesen radio di Brunei Darussalam, Pelangi FM baru-baru ini juga telah mengadakan majlis seumpamanya di restoran berkenaan di Kampung Kiulap.

Pelangi FM turut memeriahkan penghujung Aidilfitri dengan Majlis Sambutan Hari Raya.
Pelangi FM turut memeriahkan penghujung Aidilfitri dengan Majlis Sambutan Hari Raya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Radio Pelangi FM, Haji Hasnan bin Suhaili dan Pengurus Syarikat Restoran M. Yus, Awang Noorhazny bin Abdul Sani.

Haji Hasnan dalam ucapannya berharap agar kerjasama erat antara pihak radio dan restoran berkenaan dapat dikekalkan yang secara tidak langsung membantu mempromosikan syarikat yang dimiliki oleh anak tempatan.

Majlis yang dihadiri oleh 70 orang yang terdiri daripada para penyampai dan kakitangan radio serta pemenang Kuiz Pendengar Pelangi FM itu antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada para peminat dan pendengar radio yang hadir untuk beramah mesra bersama penyampai-penyampai radio Pelangi FM, sambil menikmati jamuan yang telah disediakan oleh Restoran M. Yus.