Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Sempena sambutan Tahun Baharu Bangla 1429 atau ‘Pahela Baishakh’, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam telah meraikan sambutan itu dengan cara yang sesuai dan berwarna-warni di premis chancery, kelmarin.
Antara tetamu jemputan yang hadir ialah masyarakat Bangladesh, ahli-ahli kor diplomatik termasuk 11 duta/CDA, masyarakat awam dan para penyanyi.
Ahli perniagaan warga Bangladesh turut menyertai acara itu menerusi pameran produk mereka yang disusun di gerai masing-masing.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona merasmikan acara dengan memotong reben.
Dalam ucapan alu-aluannya, beliau memberikan penghormatan yang tinggi kepada bapa bangsa Bangladesh, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, dan penghargaan kepada Perdana Menteri Bangladesh, PYT Sheikh Hasina.
Beliau juga dengan bangganya menekankan kepentingan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.
Bagaimanapun, beliau amat berdukacita atas kematian Timbalan Speaker Parlimen Kebangsaan Bangladesh, Md Fazle Rabbi Miah dan turut merakamkan penghargaan atas bakat dan sumbangan artis dan penaung (patrons) Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dengan mengiktiraf mereka dengan pensijilan.
Puan Yang Terutama juga berterima kasih kepada semua orang atas penyertaan aktif mereka dan meminta mereka melupakan semua perbezaan untuk menjadikan masyarakat lebih baik yang mampu menangani sebarang cabaran secara kolektif tanpa meninggalkan sesiapa pun.
Seniman terkenal Brunei, Pengiran Wahab Hassan pula mengagumkan semua yang hadir dengan lukisan langsung yang dilakukan dengan penyertaan kanak-kanak.
Semasa acara itu, makanan tradisional Bangladesh, seperti panta (hidangan berasaskan nasi yang disediakan dengan merendam nasi dalam air semalaman), ikan Ilish (Hilsa ilisa), kek (Patishapta, Chitoi dll), sayur-sayuran pelbagai jenis dan hidangan Bangladesh yang lain dipamerkan di gerai Bangladesh dan dihidangkan kepada semua tetamu yang hadir.
Program sepanjang hari itu juga dipecahkan kepada beberapa bahagian menarik dengan kanak-kanak menceriakan acara dalam pertandingan sukan dan kuiz, yang direka untuk menguji pengetahuan dan idea mereka tentang Bangladesh serta membangkitkan dan menyemai perasaan patriotik.
Acara turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh penyanyi daripada komuniti Bangladesh. Persembahan kanak-kanak kurang upaya dari La Vida Berhad turut menghiburkan tetamu.
Tahun Baharu Bangla bermula pada 593 Tahun Masihi dengan sambutan pertama pada 1,428 tahun lalu dan kini ia diisytiharkan sebagai warisan dunia tidak ketara oleh UNESCO.