Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Sambutan tahun baharu sepi, doa 2022 lebih baik

    WELLINGTON, 31 DIS – Selamat tinggal 2021. Selamat datang 2022, moga ia memberi harapan baik.

    Itu merupakan sentimen dikongsi orang di seluruh dunia ketika dunia mengalu-alukan tahun baharu.

    Di kebanyakan tempat, sambutan Tahun Baharu senyap sunyi atau dibatalkan buat kali kedua berturut-turut kerana jangkitan koronavirus yang semakin memburuk, dipacu oleh varian yang amat mudah berjangkit, Omicron.

    Malahan, sebelum Omicron melanda, ramai yang gembira mengucapkan selamat tinggal kepada tahun kedua pandemik yang menyukarkan.

    Namun setakat ini, peningkatan Omicron tidak membawa kepada tahap kemasukan hospital dan kematian yang lebih teruk berbanding penularan sebelumnya – khususnya dalam kalangan orang divaksin – memberikan harapan cerah bagi tahun 2022.

    Orang ramai menyaksikan tanglung sambutan tahun baharu di Yantai, wilayah Shandong, China, 31 Disember. Sambutan senyap sepi di beberapa negara Asia Pasifik, Asia dan ASEAN disebabkan pandemik buat tahun kedua berturut-turut. – AFP

    Australia meneruskan keraian di sebalik peningkatan kes dengan ribuan menyaksikan langit di Sydney Harbor Bridge dan Opera House dilimpahi cahaya bunga api cantik pada tengah malam. Negara jiran New Zealand memilih pendekatan lebih sederhana, menggantikan pertunjukan bunga api dengan memancarkan cahaya menarik di bangunan-bangunan mercu tanda termasuk Sky Tower dan Harbor Bridge.

    Negara-negara di Asia dan Pasifik adalah antara yang pertama menyambut tahun baharu setiap tahun kerana terletak di garisan tarikh antarabangsa.

    Di Jepun, orang ramai seperti penulis Naoki Matsuzawa meluangkan masa di rumah bersama keluarga, namun tidak lagi berapa peduli dengan pandemik, meskipun terdapat varian baharu. Seperti kebanyakan orang, Matsuzawa berharap kehidupan akan lebih baik dalam 2022.

    Sebahagian lagi rakyat Jepun berkerumun ke kuil dan makam, memakai pelitup muka dan sebahagian lagi meraikannya di pusat bandar, bukan sahaja meraikan cuti, malah kebebasan daripada sekatan yang dibatalkan baru-baru ini.

    Di India, jutaan merancang menyambut tahun baharu di rumah, apabila perintah berkurung malam dan sekatan lain dikuatkuasakan, manakala Beijing tidak merancang mengadakan sambutan dengan tekadnya untuk memastikan strategi sifar COVID-19nya berjaya.

    Di negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam, ramai meraikannya di rumah masing-masing selepas kerajaan melarang sambutan Tahun Baharu, namun semuanya mendoakan tahun 2022 akan membawa kepada keadaan dan harapan lebih baik. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...