Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Sekolah Antarabangsa Berakas (ISB), hari ini, telah meraikan Tahun Baru Cina dengan mengadakan majlis sambutan penuh meriah yang berlangsung di dewan teater sekolah berkenaan.
Berkenan berangkat ke majlis sambutan itu ialah anakanda-anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Turut berangkat ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb.
Dengan semua pelajar dan guru-guru memakai pakaian berwarna merah, perhimpunan berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan berwarna-warni seperti persembahan alat muzik, nyanyian dan pelbagai persembahan tarian seperti hip hop, tarian kung fu, tarian bunga, tarian kipas dan tarian ayam yang mengetengahkan para pelajar daripada pelbagai bangsa.
Acara utama di majlis itu adalah tarian singa, dipersembahkan oleh pelajar-pelajar menengah, yang sangat menghiburkan para pelajar.
ISB dalam kenyataannya menyatakan bahawa majlis berkenaan merupakan peluang baik untuk meraikan penghormatan dan toleransi pelbagai budaya, idea yang dipegang kuat oleh ISB.
Menerusi majlis seumpamanya, kanak-kanak mendapat pemahaman mendalam mengenai tradisi komuniti yang bukan sahaja diraikan di Brunei dan China, tetapi di seluruh dunia, menurut kenyataan itu lagi.