Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan bermula

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Bendera Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah dengan seluruh rakyat dan penduduk sama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 tahun.

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-74 berlangsung dengan acara penuh kegemilangan dan kemegahan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-74.

Turut hadir ialah timbalan-timbalan pengerusi bersama, setiausaha-setiausaha bersama jawatankuasa kebangsaan sambutan perayaan serta pegawai-pegawai daerah.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Begawan Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin. Majlis kemudian menyaksikan penerimaan dan penyerahan bendera besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7 meter x 7.5 meter yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin untuk dinaikkan serta dikibarkan dengan diiringi lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan.’

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menyempurnakan majlis penyerahan dan penerimaan bendera besar Negara Brunei Darussalam, kelmarin.
Bendera besar megah berkibar menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 tahun.
Anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) semasa menaik kibarkan bendera besar di Bandar Seri Begawan hari ini.- Gambar oleh Infofoto

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di sini, hari ini, majlis kemudiannya menyaksikan Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam seramai 20 orang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah bersiap sedia bergerak masuk.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5 meter x 1.2 meter dan poster-poster sambutan kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pegawai Daerah Belait; Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

Upacara pengibaran bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah lain diadakan sejurus selepas upacara pengibaran bendera besar di ibu negara.

Dengan berkibarnya bendera besar di ibu negara maka bermulalah pengibaran bendera di seluruh negara. Bendera besar Negara Brunei Darussalam akan secara berterusan berkibar megah di Pusat Bandar Seri Begawan bermula hari ini hingga 22 Julai.

Sepanjang tempoh berkenaan, pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniai gelaran dihendaki menaikkan dan mengibarkan bendera peribadi masing-masing, manakala orang ramai hendaklah menaikkan dan mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.