Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sami ‘hidup mewah’ dipenjara 114 tahun

    BANGKOK, 9 Ogos – Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara 114 tahun ke atas seorang sami hari ini, menurut pegawai mahkamah, selepas lebih setahun beliau diekstradisi dari Amerika Syarikat (AS).

    Wiraphon Sukphon menjadi tajuk utama pada 2013 apabila rakaman dia memakai kaca mata hitam berjenama dengan beg Louis Vuitton dalam pesawat peribadi tersebar.

    Sami berusia 39 tahun itu melarikan diri ke AS tetapi dihantar balik selepas dia dituduh merogol budak bawah umur dan menipu penderma yang memberikan wang kepadanya untuk membina patung Buddha zamrud terbesar dunia.

    Manakala, siasatan lanjut menunjukkan dia memiliki kereta mewah dan pelbagai akaun bank bernilai kira-kira AS$700,000.

    “Wiraphon disabitkan bersalah atas tuduhan mengubah wang haram, menipu dan melanggar Akta Jenayah Komputer kerana meminta sumbangan atas talian,” kata pegawai mahkamah Bangkok kepada AFP.

    Gambar yang diperolehi dari Dailynews Thailand menunjukkan Wiraphon Sukphon (tengah) ketika tiba di mahkamah di Bangkok, hari ini. – AFP

    “Hakim mensabitkannya dan menjatuhi hukuman penjara 114 tahun,” kata pegawai berkenaan. Tambahnya, menurut undang-undang Thailand, Wiraphon tidak akan menjalani hukuman melebihi 20 tahun.

    Wiraphon juga diperintahkan memulangkan semula wang berjumlah 28.6 juta baht (AS$861,700) kepada 29 penderma yang memfailkan aduan.

    Sementara itu, keputusan mengenai tuduhan rogol dijangka diketahui Oktober ini, kata pendakwa raya awam.

    Sami itu dituduh mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur sedekad lalu dan mempunyai seorang anak dengan mangsa. Beliau berhadapan dengan prospek hukuman tambahan 20 tahun penjara jika disabitkan bersalah.

    Majoriti rakyat Thailand adalah penganut agama Buddha dan kebanyakan lelaki di sana menghabiskan sekurang-kurangnya beberapa waktu di sebuah biara untuk menjadi sami. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda