BEIJING, 17 April – Seorang sami Buddha Tibet telah membakar dirinya di barat China dalam satu bantahan menentang pemerintahan Beijing, kata satu kumpulan pengawasan dan stesen radio yang disokong oleh kerajaan AS.
Sami itu membakar dirinya di dataran awam pada pagi Sabtu di Kardze, juga dikenali sebagai Ganzi, di barat wlayah Sichuan, menurut Radio Bebas Asia dan Bebas Tibet, satu kumpulan penyokong yang berpangkalan di Britain.
Sami yang tidak dikenal pasti itu dibawa pergi selepas api dipadamkan oleh anggota keselamatan, kata laporan. Masih tidak jelas sama ada dia berjaya diselamatkan.
Seorang lelaki yang menjawab telefon di balai polis tempatan hari ini berkata beliau tidak tahu mengenai kes itu dan ‘tidak jelas’ mengenai situasi yang berlaku. Kerajaan untuk Wilayah Autonomi Garze Tibet, yang termasuk bandar Kardze, merujuk soalan tersebut kepada polis.
Satu video Youtube tentang kejadian tersebut menunjukkan dua lelaki menyembur pemadam api pada apa yang kelihatan seperti tubuh badan di tepi jalan raya sibuk tatkala orang ramai berkumpul.
Bebas Tibet memperoleh video itu daripada seorang saksi yang menyiarnya di media sosial, menurut John Jones, jurucakap untuk kumpulan.
Jika kejadian bakar diri itu disahkan, ia akan menjadi kes ke-148 yang dicatat mengenai kes bunuh diri warga Tibet sejak 2009, menurut Radio Bebas Asia dan Bebas Tibet. Sekurang-kurangnya 125 orang telah meninggal dunia, menurut kumpulan pengawasan.
China mendakwa Tibet telah membentuk sebahagian daripada wilayahnya lebih daripada tujuh abad lamanya dan menganggap Dalai Lama, pemimpin Buddha Tibet dalam buangan, sebagai pemisah yang berbahaya. Ramai penduduk Tibet menegaskan mereka pada asasnya adalah bebas dan telah membantah apa yang dianggap oleh mereka sebagai pemerintahan kuku besi China. – AP