‘Sampah antara faktor banjir kilat di Sabah’

KOTA KINABALU, 22 SEPT – Pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab ke dalam sistem perparitan dan pengaliran antara faktor utama menyebabkan banjir kilat di negeri ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata berdasarkan pemerhatian, banjir kilat berlaku akibat sistem perparitan sedia ada itu penuh antaranya kerana sampah yang dibuang dan tidak dapat menampung aliran air sepenuhnya seterusnya menyebabkan air melimpah.

“Masyarakat kita ini nampak sahaja parit buang sampah, itu kita nampak parit kita penuh sampah…mentaliti masyarakat seperti ini perlu kita tukar supaya kita dapat melaksanakan usaha mencegah banjir kilat ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) bertanya adakah projek lebuh raya Pan Borneo menjadi penyebab kejadian banjir kilat yang berlaku baru-baru ini.

Bung Moktar berkata projek pembangunan jalan raya termasuk projek lebuh raya Pan Borneo berkemungkinan boleh menjadi faktor banjir kilat selain pembangunan pesat negeri terutama di bandar besar seperti Kota Kinabalu tanpa menyediakan utiliti lengkap dari segi perparitan bagi menampung keperluan penduduk. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16, di Bangunan DUN Sabah, semalam. – Bernama