MARSEILLE, 3 JULAI – Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli berkata pada Jumaat lalu bahawa dia telah meninggalkan Marseille disebabkan perbezaan dengan hierarki kelab itu selepas membimbing mereka kembali ke Liga Juara-Juara.
Sampaoli, 62, tiba di Stade Velodrome pada Mac 2021 dan membawa Marseille ke tempat kedua dalam Ligue 1 pada musim lalu.
Pada Mei lalu, Sampaoli yang juga membimbing Chile merangkul kejuaraan Copa America 2015, berkata, dia memerlukan dana tambahan untuk memanfaatkan sepenuhnya persaingan di kejohanan teratas Eropah.
Pada Jumaat lalu, Sampaoli berkata dalam catatan Instagram bahawa visi-nya bagi masa depan kelab itu adalah berbeza daripada para pengarah.
“Rentak dan objektif saya tidak sama dengan pengarah kelab,” katanya.
Terdahulu, Marseille berkata dalam satu kenyataan bahawa perpecahan itu adalah atas persetujuan bersama.
“Selepas 16 bulan kerjasama, keputusan ini telah membolehkan kelab itu mengambil langkah seterusnya dalam projek sukan baharu mereka dan layak terus ke Liga Juara-Juara,” jelas kenyataan itu. – AFP