Sampel asteroid mengandungi ‘petunjuk penciptaan Bumi’

TOKYO, 10 JUN – Debu asteroid yang dikumpulkan oleh penyiasat angkasa Jepun mengandungi bahan organik yang menunjukkan asal usul terciptanya Bumi mungkin terbentuk di angkasa, menurut para saintis hari ini.

Bahan asal dari asteroid Ryugu telah dibawa pulang ke Bumi pada 2020 selepas misi yang dijalankan selama enam tahun sejauh kira-kira 300 juta kilometer.

Namun saintis hanya mengetahui mengenai perkara itu semasa kajian pertama ke atas sebahagian kecil daripada batu kecil dan gelap seberat 5.4 gram itu.

Dalam satu kajian yang diterbitkan hari ini, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Universiti Okayama di bahagian barat Jepun berkata mereka menemui ‘asid amino dan bahan organik lainnya yang mungkin memberi petunjuk kepada asal usul terciptanya Bumi’.

“Penemuan amino asid yang membentuk protein adalah sangat penting, kerana Ryugu tidak terdedah kepada biosfera Bumi, seperti meteorit, dan penemuan itu membuktikan bahawa sekurang-kurangnya beberapa kejadian pembentukan Bumi mungkin berlaku di persekitaran angkasa,” menurut kajian tersebut.

“Sampel Ryugu adalah sampel semula jadi paling primitif yang telah didapatkan, termasuk meteoroid,” menurut Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun (JAXA) dalam satu kenyataan.

Ia dipercayai bahawa beberapa bahagian daripada bahan itu tercipta kira-kira lima juta tahun lalu selepas sistem solar terbentuk. – AP