Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sampel Bulan Chang’e-6 China dipamerkan di Pameran Aeroangkasa Antarabangsa

    ZHUHAI, 12 NOV – China mempamerkan sampel tanah bulan dari misi Chang’e-6, yang dikumpul dari bahagian jauh bulan, pada Pameran Penerbangan dan Aeroangkasa Antarabangsa China ke-15, menurut kenyataan Pentadbiran Angkasa Nasional China (CNSA), kelmarin.

    Sampel tanah bulan seberat kira-kira 75 miligram itu merupakan sampel awam pertama dari misi Chang’e-6. Ia dikumpul dari kawah hentaman terbesar, terdalam, dan tertua di bahagian jauh bulan, di mana kerak bulan adalah paling nipis.

    Para pengunjung pameran juga berpeluang untuk melihat sampel bulan tersebut secara dekat.

    “Sampel bulan ini dijangka menarik minat yang tinggi daripada orang ramai,” kata pegawai dari CNSA,  Zhang Tao.

    Pameran berkenaan turut menampilkan kapsul pulang Chang’e-6, payung terjun yang membawa sampel bulan ke Bumi, dan bekas kedap udara yang digunakan bagi pengumpulan tanah bulan.

    Misi Chang’e-6 berjaya membawa pulang 1,935.3 gram sampel dari bahagian jauh bulan pada Jun lepas, kali pertama dalam sejarah manusia. Sampel itu mempunyai kepentingan saintifik yang unik untuk memperkayakan pemahaman mengenai evolusi bulan, mempercepatkan eksplorasi dan penggunaan sumber bulan secara aman, serta menjadi aset penting bagi kemanusiaan.

    Acara yang juga dikenali sebagai Airshow China itu dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 17 November di Zhuhai, sebuah bandar di wilayah Guangdong, selatan China.

    Sejak diperkenalkan pada 1996, pameran itu menjadi platform utama untuk mempamerkan teknologi dan peralatan penerbangan serta aeroangkasa canggih dari dalam dan luar negara. – Xinhua

    Seorang penyelidik menunjukkan sampel bulan yang diperoleh melalui misi Chang’e-6 di makmal sampel bulan di Balai Cerap Astronomi Kebangsaan, Akademi Sains China (CAS) di Beijing, China. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda