Sampul surat, setem kenang-kenangan Jambatan SHOAS mula dijual

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Penggemar pengumpul setem dan sampul surat rasmi kenangan-kenangan, akan berpeluang menambah koleksi dengan pengeluaran Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-kenangan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), esok (23 September).

Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, memaklumkan bahawa keluaran setem kali ini memaparkan pembinaan jambatan terpanjang di rantau Asia Tenggara yang mempunyai kepanjangan 26.3km dan mula dibukakan kepada orang ramai pada 17 Mac 2020.

Pembukaan Jambatan SHOAS berkenaan adalah bagi memudahkan pergerakan orang ramai membuat penghantaran barangan dan perkhidmatan di antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.

Jambatan yang memperlihatkan lambang kemodenan terunggul bagi Negara Brunei Darussalam dan dengan pemodenan jambatan itu mengingatkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang dikenali sebagai Arkitek Brunei Moden.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk keluaran ini, JPP turut mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama, tiga keping setem dan Lembaran Mini Khas yang kesemuanya akan mula dijual esok.

Produk-produk setem yang akan dijual adalah seperti Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Bersetem (FDC), Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem (FDC), Lembaran Mini Khas (Miniature Sheet), Setem Setenant dan Lembaran Setem Selaras. Dengan situasi terkini jangkitan wabak COVID-19, JPP mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan penjarakan sosial dan juga memberikan perkhidmatan tanpa sentuhan.

Untuk membuat tempahan, orang ramai boleh menghubungi cawangan pejabat pos atau melalui tempahan.

Setem kenang-kenangan berkenaan akan mula dijual kepada orang ramai bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang di cawangan-cawangan pejabat pos.

Untuk keterangan lanjut, para penggemar koleksi dan orang ramai bolehlah terus menghubungi Unit Pemasaran, Filateli dan Perhubungan Awam di talian 7291679 atau 2222191 dan e-mel ke [email protected]

Antara koleksi Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-kenangan Jambatan SHOAS. – Gambar serahan Jabatan Perkhidmatan Pos.