Samsul takluk Waykana Trail Challenge

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Samsul bin Zamri berjaya menjuarai Waykana Trail Challenge sejauh 8km dalam Kategori Terbuka Lelaki yang diadakan di Jalan Tarap Bau, Kampung Setia, hari ini.

Cabaran tersebut dianjurkan oleh Begawan Athlete dan ditaja oleh SONAX dan Syarikat Aliaa, menyaksikan kira-kira 300 penyertaan dan mempertandingkan empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Veteran Lelaki, Terbuka Wanita dan Veteran Wanita.

Sementara itu, Yohanes Ahhoon berjaya menamatkan cabaran di tempat kedua dalam Kategori Terbuka Lelaki dan tempat ketiga disandang oleh Ruzaini Mahadi. Amirul Tuah dan Adizul Fikri masing-masing menamatkan cabaran di tempat keempat dan kelima.

Manakala dalam Kategori Terbuka Wanita, tempat pertama telah dimenangi oleh Vanessa Gomez dan diikuti oleh Wan Nor Amalina binti Haji Wan di tempat kedua dan Zatul Zaini berada di kedudukan ketiga.

Bagi Kategori Veteran Lelaki, Sefli Ahar berjaya meraih tempat pertama sementara Chung Kwei Ming berada di tangga kedua dan Haji Ibni bin Haji Nudin meraih tempat ketiga.

Para peserta memulakan larian semasa cabaran tersebut. – Gambar serahan Waykana Trail Challenge

Marzni Abdullah dan Abdul Ramlan Ma’arof masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.

Dalam Kategori Veteran Wanita, Airince Liam berjaya mendahului kedudukan teratas kategori tersebut dan diikuti oleh Kim Chin di tempat kedua dan Siti Fatimah merangkul kedudukan ketiga.

Kategori Terbuka Lelaki dan Wanita menyaksikan penyertaan peserta berumur 45 tahun dan ke bawah sementara Kategori Veteran disertai oleh peserta berusia 46 tahun dan ke atas.

Antara laluan yang perlu dihadapi oleh para peserta sepanjang cabaran termasuk merentas Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, melalui laluan hutan yang curam menuju menara transmisi RTB dan melewati Bangunan Bumbungan 12 sebelum kembali ke tempat permulaan perlumbaan.

Aktiviti tersebut diadakan adalah untuk mempromosi gaya hidup sihat dan aktif melalui sukan.

Turut hadir ke acara tersebut ialah Ketua Kampung Lupak Luas dan Tarap Bau dan Pemangku Penghulu Mukim Lumapas, Haji Suhaili bin Haji Mokhtar dan pengarah urusan SONAX Brunei Sdn Bhd.