Samsung bawa ciri inovatif kepada pengguna

KUALA LUMPUR, 27 MAC – Samsung Electronics Co Ltd akan membawa ciri inovatif daripada siri S20 Galaxy kepada Galaxy S10 dan Galaxy Note10 melalui satu pengemaskinian perisian yang dijadualkan pada Mac ini.

Samsung dalam satu kenyataan berkata melalui teknologi perisian kamera Galaxy yang terkini, pengguna akan dapat mengambil gambar dengan mod Sekali Tekan dan membuat penapis mereka sendiri dengan penapis yang bersesuaian termasuk akses kepada pelbagai perisian peningkatan.

“Dengan Mod Malam yang lebih baik dalam siri Galaxy S10 dan penambahan “Night Hyperlapse” dalam Galaxy S10 dan Note10, pengguna akan dapat mengambil gambar serta video yang lebih menakjubkan walaupun dalam cahaya yang rendah.

“Untuk pembuat filem yang bercita-cita tinggi, Pro Video akan memberikan lebih banyak kawalan, membolehkan pengguna untuk menyesuaikan tetapan seperti ISO, kelajuan pengatup dan tahap pendedahan dengan ketersediaan untuk beralih antara kamera depan serta belakang semasa merakam video.

“Pengemaskinian ini juga membawa pelbagai ciri galeri yang akan membantu pengguna menyusun, melihat foto serta berkongsi kandungan dengan lebih pantas melalui Clean View, Quick Crop dan Quick Share,” kata Samsung.

Selain itu, perkongsian muzik membenarkan pengguna untuk melanjutkan sambungan Bluetooth tanpa perlu membatalkan sambungan kepada rakan bagi memainkan muzik pada pembesar suara atau stereo kereta, katanya lagi. – Bernama