Samsung berminat melabur dalam industri hidrogen di Sarawak

KUCHING, 24 OKT – Kerajaan negeri Sarawak yang sedang melaksanakan strategi pembangunan pasca pandemik COVID-19 semakin mengorak langkah ke hadapan apabila syarikat multinasional terkemuka Korea Selatan, Samsung, menjadi antara syarikat yang berminat untuk melabur dalam industri hidrogen di Bumi Kenyalang.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beliau bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengadakan perbincangan secara maya dengan pelabur Korea Selatan merangkumi beberapa syarikat besar seperti Samsung, Posco dan Lotte Chemical, selain pelabur dari Australia.

“Mereka berminat untuk melabur dalam bidang ini (industri hidrogen) dan pelaburannya agak besar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas di sini, baru-baru ini.

Sarawak telah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hidrogen secara serius selepas mengkaji daya majunya untuk dihasilkan secara skala besar dan permintaan dunia yang semakin meningkat terhadap hidrogen sebagai sumber tenaga seperti yang diuar-uarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Dalam kajian hidrogen, EU menyatakan bagi tempoh 2030 hingga 2050, pasaran hidrogen akan bernilai kira-kira AS$11 trilion (AS$1=RM4.16).

Awang Tengah berkata pembangunan dalam sektor minyak dan gas akan dipertingkatkan lagi untuk meliputi aktiviti penerokaan dan pengeluaran bahan mentah dan aktiviti penapisan minyak, jualan dan pengedaran.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri juga telah melantik juru perunding untuk membuat pelan induk bagi merangka pelan pembangunan industri minyak dan gas terutamanya aktiviti hiliran bernilai tinggi yang melibatkan kawasan perindustrian di Samalaju, Bintulu, Kidurong, Tanjung Manis, Lawas dan Kuching,” katanya. – Bernama