Samsung Electronics catat keuntungan AS$8.3 bilion

SEOUL, 29 OKT – Keuntungan bersih Samsung Electronics meningkat hampir separuh dalam suku ketiga, demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, apabila perniagaan telefon pintar dan cip syarikat Korea Selatan itu dirangsang oleh sekatan ke atas pesaing China Huawei oleh Amerika Syarikat (AS).

Pengeluar cip memori terbesar dunia itu berkata keuntungan dalam tempoh Julai hingga September meningkat 48.8 peratus kepada 9.36 trilion won (AS$8.3 bilion), mengatasi jangkaan menurut Bloomberg News.

Firma itu adalah subsidiari Kumpulan Samsung, kumpulan terbesar konglomerat kawalan keluarga yang menguasai perniagaan dalam ekonomi ke-12 terbesar dunia, dan ia penting untuk ekonomi Korea Selatan.

Keputusan tersebut keluar sehari selepas pengebumian mendiang pengerusi Lee Kun-hee – yang menukar firma itu kepada kuasa global – dan tatkala koronavirus mencetuskan krisis dalam ekonomi dunia.

Namun meskipun pandemik menjejas kebanyakan ekonomi, Korea Selatan kembali mencatat pertumbuhan pada suku ketiga, didorong oleh prestasi eksport yang lebih baik daripada dijangka.

Penganalisis berkata pengeluaran telefon pintar premium terbaharu Samsung pada Ogos – Galaxy Note 20 dan Galaxy Z Fold 2 – serta jualan kukuh telefon sederhana mendorong kepada keputusan suku ketiga firma.

“Samsung mengamal dasar agresif dalam pelancaran baharu serta strategi saluran, mengambil kesempatan ke atas sentimen anti-China yang berterusan,” beritahu Prachir Singh, penganalisis di firma Counterpoint, kepada AFP. – AFP

Seorang wanita berjalan di depan iklan untuk telefon pintar Samsung Galaxy Note 20 Ultra di bilik pameran syarikat di Seoul kelmarin. – AFP