Samsung lancar Galaxy Z Fold2

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Samsung Electronics Co Ltd telah melancarkan generasi kategori telefon lipat seterusnya –  Samsung Galaxy X Fold2.

Samsung dalam satu kenyataan berkata Galaxy Z Fold2 yang tampil dengan skrin penutup dan skrin utama yang lebih besar menggabungkan reka bentuk kukuh dengan kehalusan buatan pakar serta ciri-ciri baharu bagi pengalaman mudah alih unik dalam kehidupan harian.

Presiden dan Ketua Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung, Dr TM Roh berkata pelancaran telefon baharu itu menunjukkan bahawa syarikat itu mendengar maklum balas daripada pengguna bagi memastikan penambahbaikan kepada produknya selain membangunkan inovasi baharu bagi keselesaan pengguna.

Telefon pintar baharu itu didatangkan dengan skrin infiniti-O 6.2 inci yang menyediakan kebolehgunaan maksimum bagi menyemak e-mel, mencari arah atau malahan menonton kandungan kegemaran tanpa perlu membuka lipatan peranti setiap masa.

“Oleh kerana Galaxy Z Fold2 mempunyai ciri-ciri reka bentuk generasi ketiga, ruang bagi struktur sweeper adalah lebih kecil berbanding Galaxy Z Flip.

“Ciri-ciri Hideaway Hinge menampilkan teknologi revolusi, komposisi gentian diubahsuai dan densiti gentian diselaras,” kata syarikat itu.

Pemilik Galaxy Z Fold2 akan disediakan dengan perlindungan peranti satu kali terhadap kerosakan paparan yang tidak disengajakan dalam tempoh setahun daripada tarikh pembelian. – Bernama

Gambar fail menunjukkan telefon boleh lipat Samsung. – AP