Samsung, Sony saling catat keuntungan

SEOUL/TOKYO, 28 OKT – Syarikat gergasi teknologi di Korea Selatan, Samsung Electronic mencatatkan lonjakan keuntungan operasi sekitar 28 peratus hari ini meskipun berdepan cabaran-cabaran rangkaian bekalan global yang berpunca akibat pandemik.

Pembuat cip terkenal di dunia itu menyaksikan keuntungan operasinya mencecah 15.8 trilion won (AS$13.5 bilion) bagi tempoh Julai-September, katanya.

Jualannya meningkat 10 peratus dalam setahun kepada rekod 74 trilion won yang disokong oleh prestasi bahagian cip memori disebabkan permintaan global yang berkekalan.

Keuntungan operasi yang dijana dari perniagaan semikonduktor mencatatkan jumlahnya lebih 60 peratus, menyifatkan peranan besar bahagian itu kepada kumpulan tersebut.

Sementara itu, Sony Jepun menambah jualan setahun penuh dan ramalan keuntungan hari ini, mengatakan ia menjangkakan prestasi kukuh dalam sektor muzik, perfileman dan elektronik.

Konglomerat Jepun itu yang tahun ini membeli perpustakaan anime online, Crunchyroll sekitar AS$1.2 bilion, berkata ia menjangkakan pembelian itu merangsang jualan dan keuntungan dalam bahagian perfileman.

Beberapa faktor-faktor termasuk jualan menerusi perkhidmatan penstriman dan ‘pendapatan lesen dalam perniagaan anime’ juga melambungkan keuntungan muzik, ketika Sony menikmati pertumbuhan baik dalam perniagaan hiburannya.

Sony Group kini meramalkan keuntungan bersih sekitar 730 bilion yen (AS$6.4 bilion) bagi tahun fiskal, meningkat dari anggaran sebelumnya berjumlah 700 bilion yen. – AFP

Seorang lelaki melintas papan iklan bagi telefon pintar Samsung di Seoul pada 28 Oktober. – AFP