Samsung ungguli senarai majikan terbaik di dunia

SEOUL, 16 OKT – Samsung Electronics Co. menduduki tempat teratas dalam senarai majikan terbaik di dunia, menurut majalah Forbes, lapor agensi berita Yonhap.

Gergasi teknologi Korea Selatan mengungguli senarai itu untuk tahun 2020 diikuti syarikat Amerika Syraikat (AS), Amazon, IBM dan Microsoft. Samsung mencatat peningkatan besar dalam senarai kedudukan, melonjak dari tangga ke-106 tahun lalu. Pada 2018, syarikat ini berada di kedudukan ke-76.

Pegawai industri berkata pencapaian Samsung itu sangat bermakna kerana dicapai di tengah-tengah penularan pandemik. Di samping menjaga keselamatan pekerja, syarikat itu dilihat berupaya menguruskan rantaian bekalannya dengan baik.

Syarikat Korea Selatan lain yang turut tersenarai termasuk LG menduduki tempat kelima. Pengendali portal web terbesar Naver dan gergasi kosmetik Amorepacific masing-masing di tempat ke-37 dan ke-42. Sementara Hyundai Motor di kedudukan ke-80.

Forbes berkata pihaknya bekerjasama dengan firma penyelidikan pasaran Statista untuk meninjau 160,000 pekerja sepenuh masa dan sambilan dari 58 negara.

Tinjauan dilakukan dari Jun hingga Julai. Pekerja diminta menilai kepuasan mereka merangkumi pelbagai topik, termasuk langkah pencegahan yang diambil majikan, ekonomi, kesamaan jantina dan tanggungjawab sosial. – Bernama

Gambar fail pada 7 November 2017 me-nunjukkan Logo Samsung dipamerkan di bahagian depan ibu pejabat Samsung di Milan. Samsung Electronics Co. menduduki tempat teratas dalam senarai majikan terbaik di dunia, menurut majalah Forbes. – AFP