LISBON, 20 Sept – Renato Sanches meraih kehormatan daripada penyokong Benfica selepas dia menjaringkan gol menentang kelab lamanya itu, untuk memberikan kemenangan Bayern Munich 2-0 pada saingan pembukaan Liga Juara-juara, semalam.
Sanches, yang melalui musim sukar beberapa tahun lalu sejak meninggalkan Benfica untuk Munich semasa berusia 18 tahun pada musim panas 2016, mempamerkan aksi cemerlang di Lisbon dengan menjaringkan gol sulungnya bersama Bayern.
“Saya sangat gembira menikmati malam seperti ini di Lisbon dan saya mahu berterima kasih kepada penyokong Benfica. Ia adalah detik yang sangat istimewa dan saya menikmatinya.”
Pemain muda Portugal itu menjaringkan gol pada separuh masa kedua memberikan permulaan baik buat Niko Kovac yang membuat penampilan pertama di Liga Juara-juara sebagai jurulatih.
Bayern hanya mengambil masa 10 minit untuk mendahului perlawanan itu di Lisbon.
Hantaran lintang Franck Ribery menemui Robert Lewandowski dalam kotak penalti dan penyerang Poland itu, kemudiannya meledakkan bola tepat ke gawang.
Ribery dan James melepaskan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0, sebelum Benfica membuat percubaan terbaik menerusi Eduardo Salvio yang memaksa penjaga gawang Manuel Neuer menyelamatkan keadaan. – AFP