LONDON, 24 April – Arsene Wenger percaya semangat di sebalik kemenangan 2-1 Arsenal dalam separuh akhir Piala FA ke atas Manchester City diterajui oleh naluri ‘pemangsa’ Alexis Sanchez.
Bos Gunners, Wenger menerajui pasukannya dengan merekodkan sebanyak 20 kemunculan dalam final Piala FA, terima kasih kepada persembahan tidak mengaku kalah pasukannya yang kerap dikritik kerana tewas kepada tekanan.
Ketinggalan daripada jaringan Sergio Aguero di separuh masa kedua, Arsenal diambang satu lagi kekalahan dalam musim bermasalah selepas dikuasai pasukan lawan hampir sepanjang perlawanan.
Tetapi Gunners telah menunjukkan satu semangat yang tidak disangka-sangka apabila Nacho Monreal berjaya menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum penyerang Chile, Sanchez meledakkan gol kemenangan dari jarak dekat.

Bukan buat pertama kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Sanchez, dikaitkan dengan satu perpindahan selepas enggan menandatangani kontrak baru, telah bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya ketika menentang City.
Tetapi Wenger gembira dengan cara pemain bintangnya itu bermain sehingga berjaya menjaringkan gol kemenangan.
“Alexis Sanchez sama seperti pasukan. Dia mempunyai masalah untuk bermula dan menjadi kuat dan terus kuat. Dia adalah pemangsa, selalu bersedia untuk membunuh lawan. Dia tidak pernah berputus asa,” kata Wenger.
“Dia akan berada di sini tahun depan kerana dia mempunyai kontrak dan berharap kami akan dapat melanjutkan lagi kontraknya.
“Dalam separuh masa pertama mungkin kami terlalu berhati-hati, membiarkan kami dikuasai, dan kemudian kami menjadi kuat dan terus kuat.
“Ia adalah satu perlawanan sengit tetapi secara keseluruhan saya fikir kami layak untuk memenangi perlawanan ini.” – AFP