Sancho julang Dortmund ke Separuh akhir

BERLIN, 3 MAC – Pemain sayap England Jadon Sancho meledak gol kemenangan untuk membawa Borussia Dortmund ke separuh akhir Piala Jerman selepas menenewaskan Borussia Moenchengladbach 1-0.

Jaringan kemenangan itu hadir selepas pelawat melancarkan serangan balas pada babak kedua aksi suku akhir di Borussia Park.

Dortmund berakhir dengan 10 orang apabila pemain tengah Mahmoud Dahoud dilayangkan kad kuning kedua dalam masa kecederaan.

“Kami berjuang sehingga ke minit terakhir. Itu adalah asas kami sekarang, turun dengan tenaga yang berbeza.

“Tidak semua berjalan dengan lancar, tetapi kami masih tidak dibolosi,” kata kapten Dortmund Marco Reus menjelang aksi Bundesliga menentang pendahulu Bayern Munich Sabtu ini.

Ia adalah malam yang mengecewakan buat pengendali Gladbach Marco Rose di hadapan bakal majikannya.

Gladbach tewas kesemua empat perlawanan, termasuk 2-0 di tangan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara, sejak Rose diumumkan akan meninggalkan kelab akhir musim ini untuk membimbing Dortmund.

“Kesilapan tunggal itu menjurus kepada kekalahan dan saya perlu memuji pasukan lawan di atas persembahan mereka,” kata Rose. – AFP

Aksi Sancho ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada perlawanan menentang Borussia Moenchengladbach di Jerman, kelmarin. – AP