Sandakan dinaiktarafkan bandar raya Februari depan

KINABATANGAN, 8 OKT – Sandakan akan dinaik taraf sebagai bandar raya kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu, Februari depan, selaras semua kriteria sebagai sebuah bandar raya kini dipenuhi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sehubungan itu beliau berkata prapelancaran Sandakan sebagai sebuah bandar raya dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bulan ini.

“Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sandakan (JPEPS) telah bermesyuarat bagi merancang merealisasikan Sandakan sebagai sebuah bandar raya kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu pada 22 Feb depan.

“Semua permohonan yang berkaitan telah dimajukan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Bung Moktar yang juga pengerusi JPEPS berkata pelbagai perancangan menaik taraf Majlis Perbandaran Sandakan sebagai Dewan Bandaraya telah dirancang, termasuk mewujudkan hospital swasta, memastikan perumahan mencukupi serta pembangunan kemudahan infrastruktur awam.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata status Sandakan sebagai bandar raya kelak akan turut memperkasakan daerah berhampiran seperti Beluran, Kinabatangan dan Tongod daripada segi pembangunan ekonomi selain menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut.

Pada majlis itu, Bung Moktar turut menyampaikan bantuan persekolahan sumbangan SESB kepada 300 murid di Kinabatangan selain sumbangan berjumlah RM34,000 kepada Sekolah Kebangsaan Kuamut yang menjadi sekolah angkat SESB untuk membantu pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan. – Bernama