Sandra hilang dari dunia hiburan?

Selepas populariti lagu Hey Kau! yang meraih tujuh juta tontonan di YouTube, nama penyanyi kelahiran Sabah, Sandra Dianne seolah-olah lenyap dari persada muzik tanah air.

Penyanyi yang bakatnya dicungkil melalui program realiti Mentor Legend 2014 itu menafikan tidak lagi aktif. Sebaliknya, selepas kejayaan single pertamanya itu, dia masih ligat merakamkan lagu.

Sandra berkata, dia sudah memiliki empat single dan masih bernaung di bawah Sony Music.

“Saya tidak pernah menghilang. Sebenarnya, saya masih aktif dalam dunia seni dan belakang tabir. Saya aktif menulis lagu dan masih berkarya.

“Pada masa sama, saya sibuk menguruskan perniagaan ikan masin,” katanya yang turut bersaing dalam musim ketiga program realiti, Big Stage.

Bakat Sandra dicungkil melalui program realiti Mentor Legend 2014. – Agensi

Sandra memberitahu, perjalanan lima tahun membina nama sebagai penyanyi bukanlah mudah.

“Sejujurnya, saya nampak pendakian dari tahun pertama sehingga sekarang. Semuanya dianggap perubahan yang cukup ketara. Memang mula-mula dahulu agak payah untuk mengekalkan kedudukan dalam bidang ini.

“Tapi saya tetap berusaha dan tidak mahu hanya bergantung kepada nyanyian. Sebaliknya, saya cuba mencari alternatif mendapatkan duit lebih hingga tercetus idea menjual ikan masin,” katanya.

Sandra berkata, dia mahu membuat penjenamaan semula dan tampil lebih matang. Mungkin dahulu dia terlalu muda dan tidak bijak berinteraksi dengan peminat.

Sekarang, pada usia 26 tahun, Sandra mengaku lebih matang. Malah, dengan adanya media sosial, lebih mudah untuk dia berkongsi perjalanan seni dengan peminat.

Sandra mengaku artis generasi baharu sangat beruntung kerana mempunyai platform media sosial untuk berkongsi aktiviti mereka. Malah, dia juga cuba menyesuaikan diri dengan rutin normal baharu itu.

“Saya mahu peminat tahu saya penyanyi serba boleh. Saya boleh membawa apa sahaja rentak lagu. Ketika muncul dengan lagu Hey Kau!, saya masih terlalu muda. Lagu ini juga sesuai dengan selera muzik saya ketika itu.

“Sekarang, saya suka muzik yang lebih matang. Saya sudah terjemahkan dalam single Tulus yang dihasilkan sendiri.

“Memang menjadi impian saya untuk mencipta lagu sendiri. Saya sangat bersyukur salah satu impian tercapai,” katanya. – Agensi