Sanggup berenang pulang ke Thailand

BANGKOK, 15 APRIL – Seorang nelayan rakyat Thailand yang terkandas di Malaysia selama beberapa hari, selepas penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan, nekad berenang untuk pulang ke tanah airnya.

Bagaimanapun, lelaki berusia 45 tahun dari Piman yang terletak dalam daerah Muang di Satun, selatan Thailand ditemui dalam keadaan kepenatan dan hanyut di laut, berhampiran pantai Puyu subdaerah di Satun semalam.

Dia kemudian diselamatkan Polis Marin.

Lelaki itu terkandas di sempadan Thailand-Malaysia di Perlis selama beberapa hari susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan sejak 23 Mac.

Merindui ahli keluarga dan tidak pasti bila pusat pemeriksaan itu akan dibuka semula, lelaki itu nekad untuk berjalan ke kawasan sempadan paling hampir sebelum menyeberanginya.

Inspektor Polis Marin Satun, Leftenan Kolonel Banjerd Manavej, berkata lelaki berjalan selama dua hari sebelum tiba di sebatang terusan seluas kira-kira 100 meter dan dia mengambil keputusan untuk berenang menyeberanginya.

Bagaimanapun, arus deras telah menghanyutkan lelaki itu ke laut, katanya.– Bernama