Sanggup gadai nyawa buru moluska eksotik

CAPE TOWN – Pada suatu malam Sabtu pada Ogos, Deurick van Blerk, 26, menaiki bot kecil miliknya di luar pantai Cape Town untuk memulakan satu lagi ekspedisi menangkap ikan. Beliau tidak pulang selepas itu.

Penyiasat sedang menyiasat dakwaan oleh rakan dan keluarganya yang mengatakan beliau telah dibunuh, ditembak oleh pasukan petugas khas ketika satu operasi anti-pemburuan dalam pertarungan yang semakin ganas di antara pihak berkuasa Afrika Selatan dan pemburu haram kerang-kerangan abalone dan udang karang.

Abalone ialah sejenis makanan istimewa yang berharga di Hong Kong, China dan tempat lain di timur Asia, di mana masakan yang memaparkan haiwan moluska marin itu didambakan di bankuet perkahwinan dan boleh menelan kos beribu-ribu dolar. Penyelam haram juga mencari udang kara yang dijual di pasaran tempatan.

“Deurick dan saya mula mencuri apabila kami berusia 15 tahun,” beritahu sepupunya Bruce van Reenen, 23, kepada AFP, bergelut untuk mengawal emosinya.

“Kami selalu menangkap ikan bersama, tetapi tidak pada malam itu. Kami pergi dengan bot berlainan, saya menyelam sekitar Teluk Camps dan Deurick pergi ke Cape Point untuk mencari udang kara pada malam itu.”

Penyelam seperti Van Blerk dan Van Reenen boleh memperoleh beratus dolar menangkap ikan pada satu malam.

Namun ia merupakan sebahagian kecil daripada nilai abalone kering di pasaran Hong Kong, dengan harga mencecah beribu-ribu dolar satu kilogram.

Erick Koekemoer, pegawai Penguatkuasa Undang-undang Marin yang bekerja untuk bandar raya Cape Town, Afrika Selatan, memeriksa kapal nelayan di pelabuhan Kalk Bay semasa rondaan di Teluk False, berhampiran Bandar Simon. – AFP
Erick Koekemoer semasa membuat rondaan di Teluk False, berhampiran Bandar Simon. – AFP
Gambar yang diambil dari bot Penguatkuasaan Undang-undang Laut Marin semasa membuat rondaan menunjukkan seorang lelaki sedang melihat kupang di sepanjang pantai di Bandar Simon, berhampiran bandar pantai Afrika Selatan, Cape Town. – AFP

Penangkapan ikan berlebihan menjejaskan stok abalone awal tahun 1950, tetapi bukan sehingga pertengahan 1990 pemburuan berleluasa mulai memberikan kesannya.

George Branch, seorang ahli biologi marin di Universiti Cape Town, memberitahu AFP sejak pemerolehan hasil komersial bermula, stok abalone telah berkurangan kepada satu perempat daripada jumlah sebelumnya.

Dan udang kara West Coast telah merosot mendadak kepada 2.5 peratus daripada jumlah asalnya.

“Abalone akan dihantar ke Asia Timur, terutamanya Hong Kong,” kata Markus Burgener daripada TRAFFIC, sebuah pertubuhan NGO yang mengawasi per-niagaan hidupan liar.

Harga runcit di Hong Kong untuk abalone kering Afrika Selatan berbeza daripada AS$300 sekilogram kepada lebih AS$10,000, kata beliau.

“Kesudahannya ia dimakan di China disebabkan di situlah terdapatnya permintaan paling besar,” jelas beliau, berkata terdapat ramai orang yang terbabit dalam rangkaian komoditi.

“Isu sebenar adalah terdapat beribu-ribu orang yang terlibat. Ia tidak dapat bertahan.”

Keluarga Van Blerk tinggal di Hangberg, komuniti pantai yang miskin di pinggir Teluk Hout kira-kira 20 kilometer dari Cape Town, di mana pencarian abalone dan udang kara ialah sumber kerja yang luar biasa.

“Ia juga merupakan satu risiko bagi saya disebabkan mereka sedang mensasarkan kami sekarang,” kata sepupunya. “Namun apakah yang dapat saya lakukan? Saya mesti meneruskannya, ini adalah hidup saya.

“Malangnya saya kehilangan seorang sepupu, tetapi saya mesti meneruskan hidup saya kerana jika tidak, anak saya akan kelaparan.”

Teman wanita Van Blerk sedang mengandung semasa beliau hilang dan beliau telah melahirkan seorang anak perempuan selepas itu. Beliau telah menunggu untuk Van Blerk pulang pada subuh hari, siap sedia bersama dengan kopinya setiap pagi. Namun beliau tidak mendengar apa-apa dan tidak adanya tanda-tanda mayat ditemui.

Dua orang rakan Van Blerk yang pergi bersamanya pada malam itu berkata beliau ditembak ketika satu operasi penguatkuasaan anti-pemburuan yang meninggalkan lubang tembakan dalam bot.

Mereka telah memfailkan kes jenayah sejak itu ke atas pihak berkuasa kerana percubaan membunuh.

Khaye Nkwanyana, jurucakap untuk jabatan perikanan, memberitahu AFP siasatan sedang diteruskan. Beliau berkata pasukan petugas “harus menembak hanya untuk mempertahankan diri.”

Aktivis komuniti Roscoe Jacobs, 32, berkata penduduk melihat pemburuan sebagai salah satu daripada beberapa cara untuk keluar daripada kemiskinan.

“Ia bukan sesuatu yang ingin dilakukan oleh orang, tetapi disebabkan keadaan sosio-ekonomi kami, ia adalah sesuatu yang terpaksa kami lakukan,” kata beliau.

“Anda melakukannya disebabkan ia sama ada saya melakukannya atau saya pergi dan merompak seseorang? Ia adalah sesuatu yang anda lakukan dengan risiko anda sendiri.”

Jacobs mempertahankan aktiviti pemburuan, berkata “pemuliharaan perlu bertimbang rasa terhadap orang.”

“Kami telah menyara hidup dengan bergantung pada sumber berkenaan selama lebih daripada 300 tahun dan kami akan bergantung pada sumber berkenaan untuk 300 tahun akan datang.”

Kuari haram itu menarik penyelam ke dunia keganasan jenayah terancang dan sindiket jenayah antarabangsa.

Pada September, polis Afrika Selatan merampas sebuah trak yang sedang menuju ke Botswana membawa 10 kilogram abalone dengan nilai di pasar gelap berjumlah AS$400,000.

Dan pada tahun lalu, pihak berkuasa China menumpas satu sindiket penyeludupan di selatan bandar Guangzhou, yang berusaha memindah makanan laut bernilai AS$115 juta, termasuk abalone.

Kelas pertengahan China yang semakin meningkat mempunyai keinginan yang tidak puas-puas terhadap abalone.

Di Shanghai, sebuah restoran terkemuka baru-baru ini mengenakan harga AS$14,700 untuk satu hidangan untuk lapan orang digelar ‘abalone dengan sake beku.’

“Orang tengah menjualnya kepada sindiket pembeli China,” beritahu satu sumber yang mengetahui tentang perniagaan itu kepada AFP.

“Orang tengah memperoleh keuntungan, bukannya pemburu.” – AFP