Baru-baru ini tular video mengenai bapa kepada mendiang Tangmo Nida iaitu Sophon Patcharawirapong yang bersusah payah membesarkan anak tunggalnya itu.
Menerusi video yang dimuat naik akaun TikTok Kweerina itu, Sophon dikatakan sanggup mengorbankan hartanya demi anak tersayang.
Selepas dia bercerai dengan Panida, Sophon mengambil tanggungjawab menjaga dan mengasuh Tangmo sehinggalah bergelar seorang selebriti terkenal.
Dalam video kompilasi berkenaan, Sophon menitiskan air mata berkongsi cerita bagaimana dia memperjuangkan hak untuk menjaga Tangmo dan mengorbankan harta demi mendapatkan Tangmo.
Sophon menyerahkan semua harta termasuklah rumah dan kereta bagi memastikan Tangmo berada di bawah jagaannya.
Selepas mendapat hak asuh itu, mereka berdua berpindah ke sebuah apartment sederhana.
Sophon juga bertanggungjawab menguruskan segala keperluan puterinya itu termasuklah mencuci baju, memasak dan menghantar ke sekolah.
Pada 19 September 2015, Sophon menghembuskan nafas terakhir akibat kanser prostat.
Pemergian Sophon benar-benar meninggalkan kesan cukup mendalam buat Tangmo.
Aktres itu mengalami tekanan hingga hampir membunuh diri.
Kini, kedua-duanya sudah tiada lagi di dunia dan pergi buat selama-lamanya.
Untuk rekod, mayat Tangmo dijumpai oleh pasukan penyelamat tempatan pada 26 Februari lalu selepas tiga hari hilang dipercayai lemas.
Mayatnya ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok, kira-kira 1km dari lokasinya terjatuh. – Agensi