Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Aksi kejar-mengejar dua suspek dan anggota polis berakhir apabila suspek bertindak terjun sungai dan melarikan diri memasuki kawasan Limbang.
Dua suspek yang dicari pihak polis itu dipercayai membawa barangan tegahan dan barangan tidak diisytiharkan semasa pemantauan dan risikan pada 5 Oktober sekitar jam 1:08 petang.
Terdahulu sebelum kejadian itu, anggota polis Balai Polis Bangar mengenal pasti kenderaan di kawasan Taman Perayaan Bangar, Daerah Temburong yang dalam keadaan mencurigakan.
Arahan telah dikeluarkan bagi suspek memberhentikan kenderaan, namun diabaikan, malah mereka memecut laju dan melarikan diri.
Insiden kejar-mengejar berlaku dan anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) turut dikerahkan bagi memberikan bantuan untuk menahan mereka.
Suspek juga bertindak melanggar dan merosakkan beberapa harta kerajaan seperti palang jambatan, papan tanda dan kon polis semasa sekatan jalan raya dijalankan. Mereka kemudian memandu memasuki kawasan persimpangan Perkuburan Islam Kampung Meniup lalu berhenti di penghujung jalan dan keluar dari kereta.
Kedua-duanya kemudian terjun dan berenang melarikan diri menyeberangi Sungai Pandaruan memasuki kawasan Limbang. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemui sejumlah 16 barangan kesihatan dan kecantikan pelbagai jenama, 35 kotak beras pulut merah, 10 botol madu, barang ganti kenderaan dan 98 peket rokok.
Sehubungan itu, PPDB memohon kerjasama orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat salah seorang suspek yang masih dalam pencarian pihak polis. Suspek itu ialah Awang Mohammad Kassim bin Haji Mudin yang juga dikenali dengan gelaran Tempe, berusia 47 tahun yang merupakan warga Brunei.
Polis turut mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana individu yang melindungi suspek jenayah seperti rompakan akan didakwa di bawah Seksyen 216A, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh yang tidak melebihi tujuh tahun dan denda.