Santiago Bernabeu sebagai pusat peralatan perubatan

MADRID, 27 MAC – Stadium Real Madrid, Santiago Bernabeu akan digunakan sebagai pusat penyimpanan peralatan perubatan kesihatan untuk membantu Sepanyol melawan koronavirus (COVID-19), kelab itu mengesahkan kelmarin.

Stadium dengan kapasiti 81,000 tempat duduk itu akan menyumbangkan bantuan yang dibuat oleh perniagaan dan organisasi mereka, untuk pihak berkuasa kesihatan Sepanyol berjuang merawat pesakit-pesakit COVID-19 di negara itu.

“Real Madrid, dengan kerjasama Majlis Tinggi Sukan (CSD), telah melancarkan sebuah projek di Madrid untuk membekalkan dan mengedarkan bekalan perubatan yang diperlukan untuk digunakan dalam membendung penularan pandemik COVID-19,” kata kenyataan kelab.

“Semua bekalan yang tersimpan akan diserahkan kepada pihak berkuasa kesihatan Sepanyol, di bawah kuasa kerajaan Sepanyol, supaya sumber-sumber itu yang sangat diperlukan dalam keadaan kecemasan kesihatan semasa, digunakan dengan baik dan cara yang paling cekap,” tambahnya.

Sepanyol telah mencatatkan lebih daripada 4,000 kes kematian akibat virus itu, menurut angka terbaharu semalam. Madrid adalah kawasan paling teruk terjejas di negara itu, dengan lebih daripada 2,000 kematian setakat ini.

Kebanyakan negara-negara di seluruh dunia kini sedang giat berusaha untuk menangani penularan COVID-19 yang semakin berleluasa yang kini telah mengorbankan sekurang-sekurangnya 21,000 orang di seluruh dunia.

Kebanyakan negara sedang mengisytiharkan perintah berkurung di negara masing-masing dan menyarankan penduduknya supaya terus mengamalkan penjarakkan sosial bagi sama-sama mengekang penularan wabak tersebut yang pada mulanya berlaku di negara China. – AFP

Seorang buruh berjalan di luar Stadium Santiago Bernabeu di Madrid. Stadium Santiago Bernabeu akan digunakan sebagai pusat penyimpanan peralatan perubatan untuk membantu Sepanyol melawan COVID-19, kelab itu mengesahkan semalam. -AFP