NEW DELHI/CHINA, 18 SEPT – Santiniketan, sebuah bandar di India, tempat pemenang Nobel Rabindranath Tagore membina universiti pusat Visva Bharati lebih seabad lepas, kini dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.
Badan dunia itu membuat pengumuman tersebut pada sesi ke-45 mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia di Arab Saudi pada Ahad, lapor Xinhua.
Santiniketan dibuka pada tahun 1901 oleh Maharshi Debendranath Tagore, bapa Rabindranath Tagore, di daerah Birbhum di Bengal Barat.
Santiniketan yang bermaksud ‘tempat tinggal yang damai’ ialah sebuah sekolah berasrama dan pusat seni berdasarkan tradisi India kuno dan wawasan kesatuan manusia merentas sempadan agama dan budaya.
“Sebuah ‘universiti dunia’ ditubuhkan di Santiniketan pada tahun 1921, mengiktiraf perpaduan kemanusiaan atau ‘Visva Bharati’.
“Berbeza daripada orientasi seni bina kolonial British yang lazim pada awal abad ke-20 dan modenisme Eropah, Santiniketan menggunakan pendekatan moden pan-Asia, memanfaatkan tradisi kuno, zaman pertengahan dan rakyat dari seluruh rantau ini,” menurut keterangan yang disediakan oleh UNESCO.
Sementara itu, landskap Old Tea Forest Jingmai Mountain di Pu’er, barat daya China, turut dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.
Kota tersebut dipilih berdasarkan pengekalan hutan teh lama dan landskap budaya yang berkaitan di Gunung Jingmai, Daerah Autonomi Lancang Lahu di barat daya Wilayah Yunnan yang merupakan antara wilayah yang mengamalkan penggunaan sumber teh terawal dan mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap budaya teh dunia.
Kawasan itu mempunyai lima hutan teh lama berskala besar yang dipulihara dengan baik, sembilan perkampungan tradisional dan tiga hutan pemisah pelindung antara mereka.
Landskapnya sangat menonjol dan menjadi contoh budaya teh yang kaya yang berpusat kepada amalan kuno menanam dan memelihara hutan teh lama. – Bernama
