SAPPHAT IV sempena BruHAS 2019

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Bersempena Brunei Halal Showcase (BruHAS) 2019 yang akan bermula 11 November ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian akan mengadakan Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyi-ban ke-4 2019 (SAPPHAT IV 2019).

Seminar dua hari sehingga 12 November itu akan berlangsung di BRIDEX, Jerudong. Ia dianjurkan dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) Malaysia dan Universiti Malaya (UM) Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, seminar berkenaan merupakan sebagai platform kepada pemahaman isu halal yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Ini disebabkan kesedaran masyarakat mengenai produk halal yang juga semakin meningkat. Daripada dapatan ini, tambah kenyataan, ia sekali gus mencerminkan potensi pasaran halal setempat yang positif yang memberi peluang untuk pemain industri halal menampung keperluan dan permintaan lantas membuka pertumbuhan ekonomi tempatan yang baharu.

Tema bagi SAPPHAT IV 2019 adalah ‘Meningkatkan Kelestarian Hab Halal melalui Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban’.

Seminar bertujuan untuk mengenal pasti keperluan dan kesinambungan industri halalan thayyiban dalam perjalanan hidup manusia di muka bumi di samping untuk menyerlahkan keistimewaan dan kelebihan industri halalan thayyiban dalam menyeru manusia sejagat menerusi kesempurnaan, keindahan dan ketetapan syariah dan undang-undang.

Antara tajuk perbahasan yang akan dibincangkan nanti ialah berhubung kait dengan sains sosial, syariah dan undang-undang serta informasi, inovasi, sains dan teknologi.

Pembentangan kertas perdana akan disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar binti Haji Mat Dain @ Maidin.

Manakala itu, pembentang kertas ucaptama terdiri daripada Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee; Profesor Dr Irwandi Jaswir dari International Institute of Halal Research and Training, International Islamic University Malaysia (IIUM) dan Profesor Dr Quamrul Hasan dari Centre for Global Initiatives, Osaka University.

Untuk mengukuhkan lagi penjelasan berkenaan tema seminar tahun ini, pihak penganjur telah mengundang beberapa tenaga akademik, pengamal undang-undang dan pegawai yang diberi kuasa dalam makanan halal sebagai rakan kongsi pembentangan khas kertas kerja.

Forum khas juga akan diadakan dengan melibatkan ahli panel yang terdiri daripada pengasas IHADA, profesor Kolaborasi Khas Osaka University (Kampus ASEAN), presiden Dewan Perdagangan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam, pengarah urusan Holistic Management Services Company (HMSC) dan ketua Unit Pembangunan Industri Halal, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.

Orang ramai yang berminat dialu-alukan untuk mendengarkan seminar dengan mendaftar dengan pihak penganjur sewaktu acara diadakan.

Bagi keselesaan orang ramai, perkhidmatan bas ulang alik juga disediakan dan perkhidmatan DART menawarkan potongan harga bagi pengunjung BruHAS.