Sapporo kurangkan kos anjuran Olimpik

TOKYO, 29 NOV – Bandar pembida Olimpik Musim Sejuk Sapporo telah mengurangkan kos penganjuran Sukan 2030 sebanyak kira-kira satu perempat atau AS$795 juta, kata Datuk Bandar hari ini.

Bandar di utara Jepun itu, dianggap sebagai salah satu daripada calon utama untuk menganjurkan Sukan Olimpik, mengambil tindakan tersebut di tengah kebimbangan tindak balas orang ramai selepas kos yang tinggi anjuran Olimpik Musim Panas Tokyo.

Pegawai bidaan Sapporo telah mengurangkan jumlah tempat pertandingan dan kini menetapkan kos dengan anggaran antara 280 bilion yen dan 300 bilion yen untuk Sukan 2030.

Belanjawan akhir untuk Sukan Tokyo yang ditangguhkan ketika pandemik telah meningkat sekurang-kurangnya 1.64 trilion yen, dengan beberapa anggaran yang mencadangkan tanda harga sebenar adalah jauh lebih tinggi.

“Skala bagi Olimpik Musim Panas dan sejuk adalah amat berbeza,” beritahu Datuk Bandar Sapporo, Katsuhiro Akimoto kepada wartawan.

“Kosnya kurang satu pertiga daripada Sukan Musim Panas dan adalah penting untuk memahami situasi tersebut.”

Sapporo menganjurkan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 1972 dan turut mengadakan acara maraton dan perlumbaan berjalan kaki untuk Sukan Tokyo tahun ini, dalam usaha melawan cuaca panas di ibu negara itu.

Bandar-bandar lain yang telah menunjukkan minat dalam Sukan 2030 termasuk bandar Salt Lake yang pernah menganjurkan Sukan pada tahun 2002, dan tuan rumah bandar Vancouver tahun 2010. – AFP