LOS ANGELES, 30 Mei – Jurulatih sementara skuad Amerika Syarikat (AS), Dave Sarachan menambah 10 pemain dalam skuadnya bagi perlawanan persahabatan akan datang menentang Ireland dan Perancis ketika dia berusaha untuk membangunkan kejayaan skuad kendaliannya menentang Bolivia, menurut satu kenyataan semalam.
Sarachan, yang mengambil alih kendalian skuad kebangsaan AS sehingga jurulatih kekal dilantik selepas Piala Dunia, akan membawa skuad 25 pemain remaja itu ke Eropah bagi perlawanan menentang Ireland di Dublin pada 2 Jun dan Perancis di Lyon pada 9 Jun.
AS, yang menewaskan Bolivia 3-0 dalam perlawanan persahabatan di Philadelphia pada Isnin lalu, menambah penjaga gol, Zack Steffen dan William Yarbrough ke dalam skuad itu bersama dengan pemain pertahanan Shaq Moore, Tim Parker dan DeAndre Yedlin.
Pemain midfield Tyler Adams, Luca de la Torre, Kenny Saief dan Wil Trapp juga menyertai skuad itu bersama pemain penyerang Bobby Wood.
Tujuh pemain yang menjadi sebahagian skuad menentang Bolivia telah meninggalkan skuad itu, termasuk Christian Pulisic dari Borussia Dortmund.

Perubahan itu bermakna perkadaran usia skuad yang akan berkunjung ke Eropah adalah 23 tahun dan 102 hari.
“Kami teruja mengenai peluang untuk menambah sebahagian pemain veteran dari Eropah begitu juga pemain muda dalam MLS yang menjadi sebahagian dari pasukan kami sejak November,” kata Sarachan yang mengambil alih dari Bruce Arena selepas kegagalan mengejut AS untuk layak bagi Piala Dunia Rusia, bulan depan.
“Perlawanan menentang Ireland dan Perancis akan meningkatkan cabaran yang lebih sukar, jadi kami merasakan adalah penting untuk membawa beberapa pemain yang menawarkan sedikit pengalaman.
“Perlawanan ini akan memberikan satu lagi peluang perkembangan besar bagi pemain yang mengembangkan kerjaya antarabangsa mereka.” – AFP