Saran wajibkan ujian saringan talasemia bagi bakal pengantin

KOTA KINABALU, 19 JULAI – Persatuan Talasemia Sabah mencadangkan kerajaan negeri itu mewujudkan undang-undang khusus mewajibkan setiap pasangan yang bakal berkahwin menjalani ujian saringan talasemia.

Presidennya, Francis Mujim berkata langkah itu bagi mengawal dan mengurangkan risiko kelahiran anak damit dengan penyakit berkenaan, seterusnya menghasilkan generasi yang lebih sihat pada masa akan datang.

“Pada masa ini, kita tidak boleh paksa pasangan menjalani ujian saringan talasemia seperti ujian saringan HIV,” katanya kepada pemberita selepas perasmian kempen Kesedaran Talasemia 2.0 peringkat negeri di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Poon Ming Fung.

Mengulas lanjut, Francis berkata setakat 2018, terdapat 1,814 penghidap talasemia di Sabah dengan bilangan tertinggi adalah yang berusia 10 hingga 14 tahun iaitu seramai 391 orang, diikuti kelompok usia 5-9 tahun (370) dan 15-19 tahun (327). – Bernama