Sarawak akur keputusan IPC

KUCHING, 28 Jan – Sarawak akur dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung di sini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri perlu mematuhi dasar luar Kerajaan Persekutuan.

“Malaysia mempunyai pendirian sendiri dan Sarawak hanyalah sebagai lokasi kejohanan. Saya tahu ia telah dibatalkan tetapi kami perlu perlu menurut dasar luar Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika mengulas keputusan IPC yang diumumkan semalam.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Kesenian Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setakat semalam, 1,678 atlet dan pegawai dari 64 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan yang dijadualkan dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Abdul Karim berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri Program ‘Experience Sarawak’ di sini malam tadi dan menambah Sarawak merasa sedih dan kecewa tetapi menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

“Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Israel, maka negeri perlu menurutinya atau tidak negara lain akan mentertawakan kami jika kami menggunakan dasar sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata akan terdapat kerugian dari segi kewangan kerana persiapan untuk pertandingan antarabangsa itu sudah dibuat sejak tahun lepas sementara negara peserta juga telah menempah penerbangan dan penginapan mereka. – Bernama