Sarawak bakal jadi pengeluar hidrogen terbesar

KUCHING, 23 NOV – Sarawak akan menjadi pengeluar dan pembekal terbesar bahan api hidrogen di rantau Asia Tenggara bermula 2023, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai keupayaan untuk mengeluar dan membekal tenaga hidrogen kerana mempunyai banyak sungai, di mana air sungai berkenaan boleh diproses untuk dijadikan bahan hidrogen untuk kegunaan kenderaan.

“Ada beberapa syarikat dari Korea, Jepun dan Australia telah menyatakan minat masing-masing untuk melabur dalam sektor pengeluaran tenaga hidrogen di negeri ini, dan ini bermakna kita sudah berada di landasan yang tepat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen utama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan upacara pecah tanah bagi pembinaan stesen pelbagai bahan api Petros (Petros Multifuel Station) di Bandar MJC, Batu Kawa di sini.

Abang Johari berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), agensi yang dipertanggungjawab untuk projek pengeluaran hidrogen di negeri ini, meletakkan sasaran untuk menghasilkan 10,000 tan setahun bagi tempoh di antara 2023 dan 2025.

Abang Johari berkata kos bagi melaksanakan projek berkenaan adalah tinggi pada peringkat permulaannya, namun menjangkakan akan menjadi lebih rendah dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bercakap semasa sidang media selepas melancarkan upacara pecah tanah bagi pembinaan stesen pelbagai bahan api Petros di Bandar MJC, Batu Kawa, Kuching, semalam. – Bernama