Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Sarawak bangunkan blueprint untuk pembangunan lestari

    KUCHING, 29 MAC – Blueprint Sarawak Lestari akan dibangunkan sebagai panduan kepada semua agensi kerajaan, syarikat dan komuniti ke arah mencapai matlamat kelestarian alam sekitar negeri, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

    Beliau berkata blueprint tersebut akan menangani kebimbangan berkaitan pengurusan pemulihan biodiversiti dan sumber asli, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim dan dalam masa sama membolehkan penciptaan persekitaran berinfrastruktur moden, selari dengan gerakan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) negara.

    “Sarawak merancang untuk mengutamakan kelestarian alam sekitarnya dan memastikan pembangunannya selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan negeri ini akan berusaha ke arah pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan menerapkan pendekatan bertanggungjawab ke arah pembangunan sumber aslinya,” katanya. Bercakap ketika merasmikan Seminar Konservasi Malaysia yang julung kali dianjurkan di sini, beliau berkata Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai satu daripada tiga asas utama untuk memandu Sarawak ke arah matlamat 2030 negeri tersebut.

    Menurutnya, ini bagi menjamin alam sekitar yang bersih dan sihat untuk semua dengan polisi pengurusan hutan yang mampan serta penerapan teknologi dan inovasi terkini, bagi menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau ke 45 peratus pada 2030. 

    Abang Johari berkata Sarawak akan turut membangunkan bandar pintar yang akan mengambil kira kelestarian alam sekitar dalam urbanisasi dan Kuching Smart City Master Plan adalah yang pertama dibangunkan dengan mobiliti rendah karbon serta infrastruktur bandar pintar.

    Mengakui sangat mengambil berat perihal alam semula jadi, alam sekitar dan biodiversiti, beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah bagi memastikan biodiversiti Sarawak diurus sebaiknya dan pengurusan bertanggungjawab sangat penting bagi menyokong komitmen Malaysia untuk mengekalkan 50 peratus kawasan negara diliputi hutan. – Bernama

    Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua, kanan) melihat pameran hidupan liar termasuk pelbagai jesis spesis Burung Kenyalang (Hornbill) pada perasmian Seminar Konservasi Malaysia. -Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...