Sarawak bangunkan Kampung haiwan canggih

KUCHING, 13 SEPT – Sarawak akan membangunkan kampung haiwan serba canggih di bandar raya ini tidak lama lagi untuk memberi perlindungan kepada anjing dan kucing terbiar, dilengkapi pusat kesihatan, kemudahan tempat tinggal, kafe dan pusat dandanan haiwan.

Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) Sarawak Datin Donna Drury-Wee berkata kemudahan baharu itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar yang dianugerahkan kerajaan negeri, dengan kawasan seluas kira-kira 10,000 kaki persegi.

“Kami harap majlis tempatan akan meluluskan pelan bangunan kami. Selepas itu, kami boleh memulakan pembinaan dalam tempoh empat hingga enam bulan. Kami harap dapat membuka (kemudahan ini) awal tahun 2021,” katanya kepada pemberita selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melakukan upacara pecah tanah di tapak projek itu di sini hari ini.

Rumah perlindungan yang dicadangkan itu terletak di Sungai Tapang, tujuh kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dan menurut Donna ia berupaya menempatkan kira-kira 170 ekor kucing dan anjing pada satu-satu masa.

“Kampung ini akan mempunyai 220 kandang. Sebahagian daripada kandang ini akan dijadikan tempat tinggal kerana ia akan menjana pendapatan bagi kampung ini dan sebahagian daripadanya (pendapatan) akan digunakan bagi proses pemulihan selepas proses mengasi,” katanya, dan menambah, kampung berkenaan akan dilengkapi pusat veterinar untuk memberi perkhidmatan mengasi haiwan.

Donna berkata kos pembinaan kampung itu dianggarkan RM5 juta.

“Kami akan berusaha mengumpul dana dan kami harap individu serta syarikat boleh membantu menerusi geran tajaan tahunan untuk menyokong kerja yang kami lakukan ini dalam usaha menjadikan Sarawak bebas semula daripada penyakit anjing gila di samping bebas daripada haiwan terbiar dengan pemilik haiwan kesayangan (anjing dan kucing) yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata pusat perlindungan SSPCA di tapak seluas 0.6 hektar di Jalan Penrissen kini sesak dengan 500 ekor kucing dan anjing.

Abang Johari, dalam ucapannya, memuji inisiatif yang diambil oleh SSPCA, dengan menyatakan cadangan itu dikemukakan untuk perhatian beliau oleh Donna sembilan tahun lepas.

“Saya telah maklumkan kepada ketua menteri ketika itu (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem). Saya berpendapat satu daripada aspek yang perlu diteliti jika kita mahukan sebuah bandar raya yang bersih adalah anjing dan kucing terbiar. Saya beritahu beliau bahawa Donna dan pasukannya telah memohon untuk mendapatkan sebidang tanah. Adenan sangat bersimpati dan beliau telah mengetengahkan soal tanah ini.

“Selepas Adenan meninggal dunia dan saya mengambil alih, tanah itu diukur oleh Jabatan Tanah dan Survei dan kami memberi hak milik tanah kepada persatuan ini, pada mulanya dengan premium, tetapi saya tanya mereka bagaimana anjing dan kucing hendak bayar, jadi saya beri tanah itu percuma,” katanya. – Bernama