Sarawak bantu pelajar bayar balik pinjaman PTPTN

KUCHING, 5 MAC – Sarawak menyediakan peruntukan RM30 juta bagi membantu pelajar dalam kalangan anak Sarawak yang berhadapan masalah untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menjadikan ia satu-satunya negeri yang mengambil inisiatif sedemikian bagi membantu secara terus pelajarnya membayar pinjaman itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kesulitan pelajar-pelajar ini didengar beliau sendiri sewaktu satu dialog bersama pelajar-pelajar Sarawak di Semenanjung Malaysia dalam Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur pada Oktober 2019.

“Hasil dialog itu, saya memberi peruntukan dalam bajet yang lepas sebanyak RM30 juta untuk membantu mereka membayar hutang kepada PTPTN,” katanya ketika berucap di Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Yayasan Sarawak dan PTPTN di pejabatnya di sini hari ini.

Di bawah memorandum itu, Yayasan Sarawak akan memanfaatkan peruntukan kerajaan negeri bagi menyediakan insentif kepada pelajar-pelajar Sarawak yang telah membayar balik sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman PTPTN, untuk menyelesaikan 30 peratus daripada baki pinjaman mereka itu.

Abang Johari berkata Yayasan Sarawak mempunyai mekanismenya sendiri dalam menguruskan pembayaran balik pinjaman oleh pelajar-pelajar ini yang diharap beliau akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar-pelajar berkenaan. – Bernama