Sarawak benar solat di masjid, surau tanpa penjarakan fizikal

KUCHING, 22 MAC – Sarawak membenarkan solat fardu dan sunat, khutbah serta wirid di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang diumumkan Majlis Islam Sarawak (MIS), semua aktiviti pengimarahan masjid, surau serta aktiviti sosial di premis-premis berkenaan dibenarkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Pengurusan dan pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan COVID-19 turut dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

“SOP itu masih mengekalkan keperluan memakai pelitup muka sepanjang masa,
pendaftaran kehadiran melalui MySejahtera, menggalakkan penggunaan sejadah atau alas sujud sendiri.

“Individu yang masih dalam tempoh kuarantin COVID-19 atau yang mempunyai gejala demam, selesema, batuk atau sesak nafas dilarang menghadiri solat dan semua
aktiviti di masjid serta surau,” menurut MIS dalam kenyataan hari ini. – Bernama