Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak buka klinik penyakit berkaitan pernafasan

    KUCHING, 24 MAC – Sarawak mengambil satu lagi langkah proaktif bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dengan membuka sebuah klinik bagi merawat penduduk yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan.

    Operasi klinik yang terletak di halaman luar Stadium Perpaduan di sini, bermula hari ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata klinik itu adalah untuk mereka yang bukan kontak rapat dengan pesakit COVID-19 tetapi mempunyai masalah seperti batuk, selesema, demam dan sakit tekak.

    “Ia berbeza dengan pusat pemeriksaan COVID-19 di Pusat Belia dan Sukan Negeri. Di sana ia adalah untuk sesiapa yang disyaki menghidap virus itu sama ada mereka mempunyai simptom atau tidak serta mempunyai kontak rapat.

    “Justeru, dengan cara ini, kita menyediakan ruang supaya orang awam tidak bersesak di hospital dan dapat mengelak daripada bercampur dengan kumpulan yang mungkin ada membawa virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat klinik berkenaan di sini, hari ini.

    Orang ramai yang mempunyai masalah pernafasan seperti batuk, selesema, demam dan sakit tekak tetapi tidak mempunyai kaitan dengan kontak pesakit COVID-19 disaran untuk menerima rawatan di klinik itu yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum bermula 8 pagi hingga 5 petang. – Bernama

    Petugas perubatan Poliklinik Jalan Masjid Kuching memeriksa suhu badan ke atas orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan klinik tersebut. Sarawak membuka sebuah klinik bagi merawat penduduk yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan di halaman luar Stadium Perpaduan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda