KUCHING, 14 JAN – Sarawak bercadang menubuhkan satu entiti bekalah air bersepadu sebagai sebahagian daripada aspirasi negeri untuk memiliki utiliti bertaraf dunia, kata Menteri Utiliti dan Komunikasi negeri Datuk Julaihi Narawi.
Beliau berkata buat masa ini, Sarawak mempunyai empat pihak berkuasa bekalan air iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU).
“Oleh itu, kerajaan negeri sedang mempertimbang kemungkinan melaksanakan entiti bekalan air bersepadu supaya dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi serta kemampanan kewangan,” katanya.
Bercakap pada bengkel ‘Kajian Pembentukan Satu Entiti Bekalan Air dan Badan Korporat Bekalan Air Negeri’ di sini, beliau berkata adalah penting untuk mempunyai sistem utiliti yang cekap dan berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi negeri itu.
Beliau berharap kajian itu dapat menemukan model yang sesuai bagi satu entiti dan Pihak Berkuasa Air Negeri (SWA) sebagai badan korporat untuk menyelia secara proaktif serta mengurus sumber dan bekalan air di Sarawak secara holistik. – Bernama